AZEEM mempunyai potensi cerah untuk terus mengorak langkah dalam acara masing-masing. FOTO ASYRAF HAMZAH
AZEEM mempunyai potensi cerah untuk terus mengorak langkah dalam acara masing-masing. FOTO ASYRAF HAMZAH
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengarah kejurulatihan Olahraga negara, Robert J Ballard mengakui laluan buat dua atlet olahraga negara iaitu Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy layak ke temasya Olimpik Paris 2024 secara merit tampak sukar.

Ia bukan mudah terutama dalam acara Azeem iaitu 100 meter (m) kerana tidak ramai pelari mampu untuk melakukan catatan masa 9.99 saat (s) manakala catatan 50.95s bagi acara Shereen iaitu 400m.

Namun Ballard mengakui Azeem dan Shereen mempunyai potensi cerah untuk terus mengorak langkah dalam acara masing-masing dan jika kena pada caranya mereka masih berpeluang layak beraksi di Olimpik.

"Saya sudah bercakap dengan jurulatih Azeem, Ken Harnden minggu lalu dan dia sangat gembira dengan perkembangan terkini Azeem.

"Dengan program latihan baru yang diterapkan ia akan membantu Azeem terus berkembang maju.

"Kekuatan dan 'power' amat diperlukan untuk Azeem berlari lebih pantas," katanya.

Sementara itu jurulatih Shereen, Derrick White turut berkongsi perkembangan pelari kelahiran Perak itu.

Kata Ballard, Shereen akan berdepan musim sejuk yang padat yang belum pernah dilakukan sebelum ini bersama-sama dengan jurulatihnya.

"Saya sangat berharap bahawa kita akan dapat melihat beberapa hasil yang positif daripada kedua-dua pelari kini ini.

"Biarpun peluang untuk layak secara merit itu tampak sukar tapi mereka mempunyai beberapa peluang untuk mengutip mata bagi mengukuhkan kedudukan dalam ranking dunia," katanya di mana kedua-dua pelari ini dijangka akan kembali ke tanah air pada Jun untuk menyertai kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia.

Seandainya kedua-dua mereka gagal melayakkan diri secara merit mereka turut mempunyai cara lain seperti berada dalam kelompok 40 Road to Paris.

Berdasarkan kelayakan World Athletics baru-baru ini, Azeem ketika ini berada di kedudukan ke-33 dalam Road to Paris bagi acara 100 meter (m) manakala Shereen berkedudukan ranking ke-92 dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 2:55 PM