CATATAN Azeem 10.04s tidak dikira rekod kebangsaan kerana bantuan angin. -FOTO Twitter
CATATAN Azeem 10.04s tidak dikira rekod kebangsaan kerana bantuan angin. -FOTO Twitter
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Jaguh lari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi berjaya melepasi rekod kebangsaan 10.09 saat (s) dalam acara 100 meter (m) yang diciptanya tahun lalu dengan catatan baru 10.04 s.

Bagaimanapun catatan masa yang dicipta Azeem pada saringan ketiga suku akhir 100m di Kejohanan Kelayakan Persatuan Olahraga Kolej-Kolej Nasional (NCAA) di Florida awal pagi tadi tidak diiktiraf selepas menerima bantuan angin +5.5s.

Mengikut undang-undang olahraga antarabangsa, catatan masa yang menerima bantuan angin +2s ke bawah sahaja yang diiktiraf.

"Terlepas peluang untuk melayakkan diri (Kejohanan Kelayakan NCAA). Walaupun saya tidak dapat layak ke peringkat kebangsaan, saya masih berbangga dengan diri saya.

"Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang. Musim yang panjang menanti saya selepas ini dan saya akan kembali," tulisnya di Twitter.

Atlet mewakili Louisiana State University, Da'Marcus Fleming menemui garisan penamat di tempat pertama dengan catatan 9.85s manakala Cole Beck (Virginia Tech) berada di tempat kedua, 9.87s.

Berada di tempat ketiga adalah atlet Universiti Florida, Pj Austin yang mencatat 9.88s diikuti rakan seperjuangan Azeem di Universiti Auburn, Favour Ashe dengan catatan 9.92s.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Azeem, 19, mengalami kecederaan pangkal paha ketika peringkat saringan pusingan pertama dan perlu mendapatkan 'lampu hijau' daripada pakar perubatan untuk menyertai saingan suku akhir.

Meskipun berada dalam keadaan kurang cergas, Azeem berjaya menamatkan saringan pusingan pertama itu dalam kelompok tiga pelari terpantas dengan catatan 10.21s.

Untuk rekod, pelari kelahiran Teluk Intan, Perak itu melakukan catatan masa 10.09s ketika memenangi saringan lapan Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia Ogos tahun lalu, sekali gus meleburkan rekod kebangsaan 10.18s milik Khairul Hafiz Jantan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 11:36 AM