UMAR Osman ketika memenangi acara 400m dan memacah rekod kebangsaan di Stadium Morodok Techo. FOTO FATHIL ASRI
UMAR Osman ketika memenangi acara 400m dan memacah rekod kebangsaan di Stadium Morodok Techo. FOTO FATHIL ASRI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelari 400 meter (m) negara, Umar Osman belum lagi berpuas hai dengan kejayaan di dikecapi di pentas Sukan Sea Kemboja baru-baru ini apabila memasang impian sebagai individu pertama mencatat masa di bawah 46 saat (s) dalam acara berkenaan.

Walaupun dilihat agak sukar namun pelari berusia 20 tahun itu mengakui sasaran itu boleh dicapai berdasarkan kepada kerja keras dan komitmen tinggi sepanjang tempoh latihan kelak.

"Saya tahu ia bukan mudah, saya akan bekerja keras untuk mencapainya. Namun, saya sudah buktikan yang tiada apa yang mustahil selepas memenangi pingat emas Sukan Sea dan memecahkan rekod kebangsaan.

"Saya meletakkan tempoh satu hingga dua tahun lagi untuk mencapai impian itu. Saya percaya dengan bimbingan daripada jurulatih dan sokongan semua pihak, saya mampu melakukannya," katanya.

Mengikut rekod, Umar mencipta sensasi apabila bukan saja berjaya memenangi pingat emas 400m di Sukan Sea Kemboja, bulan lalu tetapi dia turut meleburkan rekod kebangsaan dalam acara itu dengan catatan 46.34s.

Catatan itu menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan berusia 22 tahun milik Mohd Zaiful Zainal Abidin dengan catatan 46.41s yang dilakukan ketika Kejohanan Olahragha Remaja Asia di Brunei pada 2001.

Selain itu, Umar yang juga juara Sukan Malaysia (Sukma) 2022 turut mengintai peluang untuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya apabila beraksi di Kejohanan Trek dan Balapan Asia (ATF) di Pattaya, Thailand, bulan depan.

Katanya, kejohanan itu dianggap sebagai pemanas badan buat dirinya yang meletakkan sasaran untuk mencapai kemuncak prestasi di temasya Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China dari 28 Julai hingga 8 Ogos depan.

"Jurulatih sudah beritahu yang fokus dan sasaran utama adalah di Sukan Universiti Dunia. Untuk ATF, saya cuba menampilkan prestasi terbaik saya dan kalau dapat perbaiki catatan peribadi terbaik boleh dianggap bonus untuk saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 1:30 PM