ATLET olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy.
ATLET olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy.
Asrol Awang


Kuantan: Kejohanan Olahraga Terbuka Kazakhstan yang berlangsung pada 23 dan 24 Jun ini, penentu sama ada atlet 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy akan layak ke Sukan Olimpik Paris Julai depan.

Ia susulan pelari kelahiran Perak itu gagal untuk memecahkan rekod kebangsaan pada final 400m apabila sekadar mencatat 52.45 saat di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur, di sini hari ini.

Justeru, pelari berumur 26 tahun berkata, tiada jalan lain selain berusaha melakukan catatan masa terbaik apabila menyertai Terbuka Kazakhstan hujung minggu depan.

"Saya tetap gembira kerana masih mempunyai peluang untuk layak ke Sukan Olimpik di Almaty, Kazakhstan minggu depan.

"Oleh itu, saya perlu melakukan 50.95s untuk layak ke Sukan Olimpik dan perlu mempersiapkan diri bukan sahaja tahap kecergasan, malah mental," katanya.

Pada final 400m itu, tempat kedua diraih Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi dari Johor dengan mencatat 57.18s dan ketiga, Nurul Faizah Asma Mazlan yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (57.61s).

Ketika ini, pelari berumur 26 tahun itu berada di kedudukan ke-63 tetapi hanya 48 teratas dijamin tempat ke temasya sukan terbesar itu.

Had kelayakan yang ditetapkan ialah 50.95 saat untuk layak secara automatik selain menempatkan diri dalam kelompok 48 terbaik ranking kelayakan ke Paris sebelum 30 Jun ini.

Justeru, Shereen masih mempunyai peluang apabila beraksi Terbuka Kazakhstan iaitu bakal menjadi penentu terhadap usaha Shereen mengesahkan tiket ke Paris.

Pada 2 Jun lalu, Shereen memecahkan rekod kebangsaan miliknya ketika menduduki tempat kedua di Music City Track Carnival di Tennessee, Amerika Syarikat.

Dia mencatat masa 51.79 saat (s), mengatasi rekod kebangsaan miliknya sebelum ini 51.80s yang dilakukan di California pada April tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 2:55 PM