ELENA teruskan kemaraan di Roland Garros. FOTO Reuters
ELENA teruskan kemaraan di Roland Garros. FOTO Reuters
Reuters

Paris: Pemain nombor empat dunia, Elena Rybakina terus mengorak langkah untuk menikmati kemenangan 6-4 6-2 ke atas wakil Belgium, Elise Mertens di Terbuka Perancis untuk mara ke pusingan keempat.

Elena, bekas juara Wimbledon, sedang berusaha untuk memperbaiki pencapaian terbaiknya mara sehingga ke suku akhir di kejohanan gelanggang tanah liat itu pada 2021.

Pemain Kazakhstan kelahiran Rusia itu kehilangan servisnya dua kali pada set pertama tetapi mengekalkan kelebihan dengan mematahkan semua servis lawannya yang berbaki dalam set berkenaan.

Pukulan kencang dan servis lebih baik pada set kedua membolehkan Elena yang berusia 24 tahun itu menamatkan perlawanan dalam masa lebih kurang sejam.

"Dalam set kedua saya bermain dengan lebih yakin dan servis saya bertambah baik," kata Elena.

Kedua-dua pemain itu sudah bertemu lima kali sebelum ini, dengan Elena mendahului empat kemenangan berbalas satu.

Pada pusingan keempat, Elena akan menentang pemain ranking ke-19 dari Ukraine, Elina Svitolina atau pemain Romania rankinge ke-64 dunia, Ana Bogdan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2024 @ 9:07 PM