SHERICKA Jackson. FOTO AGENSI
SHERICKA Jackson. FOTO AGENSI
AFP

Oslo: Bintang trek Jamaica, Shericka Jackson berkata meraih pingat emas Olimpik individu pada temasya di Paris musim panas ini lebih penting baginya berbanding memperbaiki rekod dunia 200m wanita yang sudah bertahan lama.

Shericka, 29, sudah memperoleh banyak pingat di pentas antarabangsa dan atlet pertama dalam sejarah kejohanan dunia yang memenangi pingat dalam acara 100, 200 dan 400 meter (m), termasuk 4x100 dan 4x400m lari berganti-ganti.

Dia juga pemenang pingat Olimpik lima kali dengan emas tunggal diraih dalam acara lari berganti-ganti 4x100m di Sukan Olimpik Tokyo yang tertangguh akibat Covid pada 2021.

Bermula dengan pakar dalam acara 400m, dia kemudian mencuba acara pecut dan meraih gangsa 100m di ibu negara Jepun sebelum merangkul dua gelaran dunia dalam acara 200m pada 2022 dan 2023, masing-masing di Eugene dan Budapest.

"Saya tidak pernah mendapat pingat emas individu dalam Sukan Olimpik," kata Shericka mengenai motivasinya untuk memenangi emas selain acara lari berganti-ganti wanita yang sememangnya secara tradisi didominasi Jamaica.

"Pada tahun 2021 (di Tokyo) saya berazam untuk memenangi satu (emas dalam acara individu) tetapi saya tidak berjaya, jadi pastinya ia adalah sesuatu yang saya nantikan, sesuatu yang sedang saya usahakan.

"Saya amat berharap dapat mencapai impian itu pada Sukan Olimpik akan datang," katanya lagi.

Rekod dunia bagi acara 200m wanita masih milik Florence Griffith-Joyner iaitu 21.34 saat (s) yang dilakukannya pada 1988.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 11:00 AM