PASUKAN China dibarisi Yang Junxuan, Zhang Yufei, Li Bingjie dan Tang Muhan memecahkan rekod dunia ketika menang pingat emas acara 4x200m gaya bebas berganti-ganti wanita di Tokyo 2020, hari ini. FOTO EPA
PASUKAN China dibarisi Yang Junxuan, Zhang Yufei, Li Bingjie dan Tang Muhan memecahkan rekod dunia ketika menang pingat emas acara 4x200m gaya bebas berganti-ganti wanita di Tokyo 2020, hari ini. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Perenang China, Zhang Yufei merancang untuk berehat selepas menang pingat emas acara 200 meter kuak kupu-kupu wanita di Tokyo 2020, hari ini, tetapi percaturan pasukan pada saat akhir menyaksikan dia menang satu lagi pingat emas.

Pada ketika jadual padat, Zhang, 23, menang emas dengan memecahkan rekod Sukan Olimpik, selepas menang pingat perak dalam acara 100m kuak kupu-kupu, Ahad lalu.

Sejam kemudian, dia menyertai pasukan 4x200m gaya bebas berganti-ganti China yang mencipta rekod dunia dan mengejutkan pasukan pilihan, Australia.

Sebelum itu, Zhang menyejukkan badan selepas acara final hari ini, sebagai persediaan untuk acara berikutnya, saringan 50m gaya bebas, esok.

Bagaimanapun, jurulatih Zhang menyenaraikan namanya dalam acara berganti-ganti tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu dan perjudian itu perubahan taktikal.

"Saya tidak tahu akan diturunkan dalam acara berganti-ganti itu sehinggalah selesai acara 200m kuak kupu-kupu apabila jurulatih memberitahu saya disenaraikan," katanya.

"Saya tidak tahu bagaimana mahu berenang acara 200m gaya bebas berganti-ganti, walaupun berlatih dengan berkualiti dan jaraknya sama.

"Ketika Kejuaraan Kebangsaan China, saya berenang dengan pantas, mungkin itu sebabnya jurulatih meminta saya menyertai acara berganti-ganti."

Rakan sepasukannya, Li Bingjie berkata, kehebatan Zhang dalam acara kuak kupu-kupu menjadi inspirasi kepada perenang China untuk menang dalam acara berganti-ganti.

"Kami teruja dan berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam acara berganti-ganti itu, kami semua menangis gembira," katanya.

Pingat emas individu itu satu kepuasan buat Zhang, yang digelar 'Ratu Kuak-Kupu' oleh media China.

Dia hanya menduduki tempat ketujuh acara 200m kuak kupu-kupu di Rio 2016 dan gagal melepasi peringkat saringan di Kejuaraan Dunia 2019.

Tetapi, Zhang cemerlang tahun ini dan melangkah ke Tokyo 2020 dengan ranking pertama dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 8:04 PM