NAOMI ketika beraksi di pusingan pertama Terbuka Perancis. FOTO Reuters
NAOMI ketika beraksi di pusingan pertama Terbuka Perancis. FOTO Reuters
AFP

Paris: Naomi Osaka melakar kemenangan pertamanya di Terbuka Perancis selepas tiga tahun, manakala Carlos Alcaraz mengekalkan rekodnya tidak pernah tewas dalam pusingan pertama Grand Slam.

Naomi, pemenang empat kali kejuaraan utama yang masih belum melepasi pusingan ketiga di Paris, memerlukan tiga set untuk menewaskan pemain ranking ke-48 dari Itali, Lucia Bronzetti, 6-1, 4-6, 7-5.

"Rasanya sangat gembira untuk kembali dan saya sangat bersyukur berada di sini di hadapan semua orang," kata Naomi.

Bintang Jepun itu, yang juga bekas pemain nombor satu dunia kini berada di kedudukan 134 dalam ranking, pernah melalui kenangan pahit manis di ibu negara Perancis itu.

Pada 2021, dia didenda kerana enggan berdepan media sebelum menarik diri daripada kejohanan itu untuk melindungi kesihatan mentalnya.

Sementara itu, pemain nombor tiga dunia dan juara Wimbledon, Alcaraz menang 6-1, 6-2, 6-1 ke atas pemain Amerika Syarikat, JJ Wolf, pemain ranking ke-107 yang menyertai undian utama.

Alcaraz, 21, yang mara ke separuh akhir pada 2023 di mana dia ditewaskan oleh Novak Djokovic, menjadikan rekod pusingan pertamanya pada kejohanan utama itu kepada 13-0.

Alcaraz tidak menunjukkan sebarang tanda mengalami kecederaan lengan kanan yang menyebabkan dia terpaksa melupakan Terbuka Rom .

"Saya tidak memerlukan terlalu banyak perlawanan untuk menjadi yang terbaik," kata Alcaraz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 8:38 AM