PEMAIN Sepanyol, Carlos Alcaraz membalas pukulan pemain Argentina, Juan Ignacio Londero di pusingan pertama Terbuka Perancis. FOTO AFP
PEMAIN Sepanyol, Carlos Alcaraz membalas pukulan pemain Argentina, Juan Ignacio Londero di pusingan pertama Terbuka Perancis. FOTO AFP
AFP

Paris: Pemain tenis remaja, Carlos Alcaraz menepati ramalan awal apabila memulakan kempen Terbuka Perancis dengan kemenangan, semalam, pada ketika Ons Jabeur kecundang di depan penonton yang memenuhi Roland Garros.

Alcaraz yang dalam usaha muncul pemain remaja kelapan menang gelaran utama lelaki, menewaskan pemain Argentina, Juan Ignacio Londero 6-4, 6-2, 6-0 ketika membuat penampilan sulung di Court Philippe Chatrier.

Ketika ramai memilihnya untuk menamatkan dominasi juara 13 kali, Rafael Nadal dan juara dua kali, Novak Djokovic, Alcaraz meneruskan rekod cemerlang musim ini dengan 29 kemenangan dan hanya kalah tiga kali.

Pemain berusia 19 tahun itu pada mulanya mendapat tentangan daripada Londero pada awal perlawanan, tetapi mulai ketinggalan pada game-10 di set permulaan.

Alcaraz kemudian menang mudah di set kedua dan ketiga dan akan menentang rakan senegara dari Sepanyol, Albert Ramos-Vinolas di pusingan kedua.

"Saya menonton kejohanan ini sejak beberapa tahun lalu. Ia adalah tempat unik untuk beraksi dan saya memang berangan untuk bermain di sini," kata Alcaraz yang mara ke pusingan ketiga pada 2021 selepas mara menerusi pusingan kelayakan.

Alcaraz mendahului dengan empat gelaran pada 2022. Di Terbuka Madrid, dia menewaskan Nadal, Djokovic dan Alexander Zverev untuk muncul juara.

Zverev yang juga pilihan ketiga, mara ke separuh akhir tahun lalu dan dijangka berdepan Alcaraz di suku akhir.

Pemain Jerman itu turut mara ke pusingan kedua selepas menang 6-2, 6-4, 6-4 ke atas pemain Austria, Sebastian Ofner, yang menduduki ranking ke-218 dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 11:13 AM