ALCARAZ lakar kejutan tewaskan pemain ketiga dunia. FOTO AFP
ALCARAZ lakar kejutan tewaskan pemain ketiga dunia. FOTO AFP
AFP

New York: Pemain Sepanyol berusia 18 tahun, Carlos Alcaraz melakar kejutan apabila mengejutkan pilihan ketiga dari Greece Stefanos Tsitsipas di Terbuka Amerika Syarikat dan menjadi pemain termuda mara ke pusingan keempat di New York dalam tempoh 32 tahun.

Alcaraz menewaskan naib juara Terbuka Perancis itu 6-3, 4-6, 7-6 (7/2), 0-6, 7-6 untuk mara ke saingan 16 terbaik Grand Slam buat pertama kali, menafikan peluang Tsitsipas untuk mara ke pusingan keempat buat kali pertama di Terbuka AS.

Alcaraz adalah pemain termuda di Terbuka AS yang mara ke pusingan keempat sejak pemain Amerika Michael Chang melakukannya pada 1989 di usia 17 tahun dan di mana-mana Slam sejak pemain Ukraine Andrei Medvedev dalam Terbuka Perancis pada 1992.

"Luar biasa. Perasaan yang luar biasa bagi saya," kata Alcaraz. "Kemenangan ini sangat bermakna bagi saya. Ia adalah perlawanan terbaik dan kemenangan terbaik dalam karier saya.

"Menewaskan Stefanos Tsitsipas adalah impian menjadi kenyataan dan menang di sini lebih istimewa bagi saya."

Alcaraz menjadi lelaki pertama menewaskan pemain di kelompok tiga terbaik di Terbuka AS sejak ranking mula diperkenalkan pada 1973 dan sejak Denis Shapovalov menewaskan pemain ranking kedua, Rafael Nadal pada 2017 di Montreal.

Alcaraz yang kini menduduki ranking ke-55 dunia akan berdepan pemain kelayakan dari Jerman yang berada di ranking ke-141 Peter Gojowczyk selepas menundukkan Henri Laaksonen dari Switzerland 3-6, 6-3, 6-1, 6-4.

Alcaraz menang gelaran pertama ATP di Umag pada Julai menjadi pemain termuda yang muncul juara sejak Kei Nishikori pada 2008 di Delray Beach ketika berusia 18 tahun.

Dia yang mendapat julukan "Next Nadal" mendapat tepukan gemuruh di Arthur Ashe Stadium, selepas berjaya menewaskan Tsitsipas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 2:04 PM