Ohio: Pemain tenis nombor satu dunia, Carlos Alcaraz berjaya mengatasi wakil Australia dari peringkat kelayakan, Max Purcell 4-6, 6-3, 6-4 untuk mara ke separuh akhir Terbuka Cincinnati di Mason, Ohio.
Alcaraz bakal berdepan pemain Poland, Hubert Hurkacz, yang mengalahkan seorang lagi wakil Australia, Alexei Popyrin, 6-1, 7-6 (8).
Setakat ini ketiga-tiga aksi Alcaraz di Cincinnati semuanya berakhir dengan tiga set.
Selepas mendapat bye di pusingan pertama, dia mengalahkan Jordan Thompson dari Australia 7-5, 4-6, 6-3 di pusingan kedua dan mengetepikan pilihan ke-14, Tommy Paul 7-6 (6), 6-7 (0), 6-3 pada pusingan 16 akhir.
Alcaraz sekarang ini menghabiskan masa selama lapan jam 22 minit dalam ketiga-tiga perlawanan minggu ini.
Purcell, yang berada di kedudukan ke-70 dunia, melakukan 10 ace dengan tujuh double fault, berbanding dengan enam ace dan lapan kesalahan berganda Alcaraz.
"Ia benar-benar sukar dan sangat rumit hari ini. Dia beraksi dengan sangat baik. Saya fikir dia bermain dengan sempurna di jaring, tetapi saya fikir turut beraksi dengan cemerlang.
"Saya kembali dengan baik di gelanggang dan itu adalah kunci untuk meraih kemenangan hari ini, untuk kembali dengan baik dan fokus."