AKSi Alcaraz ketika bertemu Bagnis. FOTO AFP
AKSi Alcaraz ketika bertemu Bagnis. FOTO AFP
AFP

Miami: Pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz mempamer permulaan yang baik untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Miami selepas menewaskan pemain Argentina, Facundo Bagnis 6-0, 6-2, awal pagi tadi.

Pemain Sepanyol berusia 19 tahun itu yang juga pemain termuda pernah mendahului ranking dunia, sedang memburu kejuaraan berganda selepas menewaskan Daniil Medvedev dalam aksi final Indian Wells, minggu lalu.

Alcaraz mempamer aksi cemerlang dengan Bagnis yang berusia 33 tahun tidak mempunyai sebarang jawapan kepada servis kencang lawannya itu yang mudah mara ke pusingan ketiga.

"Untuk bermula di kejohanan baharu tidak pernah mudah, situasi yang berbeza. Tetapi saya benar-benar fokus sejak dari awal dan saya gembira dengan rentak permainan hari ini," kata pemain Sepanyol itu.

Alcaraz perlu menang di sini untuk mengekalkan kedudukan teratas dalam ranking dunia.

Selepas kemenangannya di Miami tahun lalu, Alcaraz dengan beraninya meramalkan dia sudah bersedia untuk memenangi Grand Slam dan kini kembali semula selepas mencapai matlamat itu.

"Saya lebih matang sejak tahun lalu. Ia adalah tahun yang hebat untuk saya sebagai pemain serta sebagai seorang individu. Saya belajar banyak perkara, bukan sahaja di gelanggang, malah di luar gelanggang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 10:35 AM