PEMAIN negara Khairul Zaman menghalang libasan apit Filipina, semalam.
PEMAIN negara Khairul Zaman menghalang libasan apit Filipina, semalam.

Regu takraw negara hampir diaibkan Filipina apabila diheret beraksi tiga set sebelum menang 14-21, 21-11, 21-12 untuk bertemu Thailand pada final Kejohanan Siri Super Akhir ISTAF 2014/15 hari ini.

Melihat kepada aksi Filipina menentang Thailand dalam saingan peringkat Kumpulan A kelmarin jelas membayangkan ancaman sama bakal dihadapi anak buah Abdul Talib Ahmad dan ternyata mereka memang memberikan tentangan sengit di Gimnasium Perbandaran Nakhon Pathom, semalam.

Filipina yang menurunkan Ronsited Gabayeron (tekong), Jason Huerte (apit kiri) dan Rheyjhey Ortouste (apit kanan) jelas bijak membaca dan mematahkan rentak pemain negara, khususnya pada set pertama.

Namun Malaysia yang mempertaruhkan tekong Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohd Khairul Zaman Hamir Akhbar (apit kanan) serta Farhan Adam (apit kiri) yang juga kapten pasukan, bangkit untuk menyamakan kedudukan sebelum menang set penentuan dalam pertarungan 57 minit itu. Dalam satu lagi aksi separuh akhir Thailand membenam Jepun 21-8, 21-10.

“Sewaktu melihat mereka menentang Thailand, pemain Filipina beraksi baik dan hampir saja mengalahkan pasukan tuan rumah itu,” kata Abdul Talib selepas perlawanan kelompok empat terbaik itu, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 7:37 AM