WOUT Weghorst meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan, Denzel Dumfries. FOTO REUTERS
WOUT Weghorst meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan, Denzel Dumfries. FOTO REUTERS
AFP

Hamburg: Pemain gantian, Wout Weghorst menjaringkan gol kemenangan lewat permainan untuk Belanda ketika mencatat kemenangan 2-1 ke atas Poland pada aksi pertama kedua-dua pasukan di Euro 2024, sebentar tadi.

Penyerang Burnley itu, yang mempamerkan prestasi hebat di Piala Dunia 2022, sekali lagi tampil cemerlang di pentas utama.

Poland pada awalnya dilihat mampu menumbangkan lawan mereka itu walaupun tanpa penyerang berbisa, Robert Lewandowski yang tidak dapat beraksi kerana faktor kecederaan.

Pengganti penyerang Barcelona itu, Adam Buksa, menanduk masuk gol untuk Poland selepas 16 minit permainan sebelum Cody Gakpo menyamakan kedudukan minit ke-29 di Volksparkstadion.

Belanda gagal memanfaatkan beberapa peluang selepas itu dan Poland dilihat dapat mengikat lawannya itu, namun Weghorst berjaya menjaringkan gol kemenangan minit ke-83 untuk menggembirakan penyokong pasukan itu.

"Saya sangat gembira dan sukar untuk menggambarkan kejayaan ini, terutamanya di pentas besar, ia sangat istimewa," kata Weghorst.

"Kemenangan ini sangat penting untuk mengekalkan suasana positif dalam pasukan. Matlamat utama adalah untuk memenangi piala secara bersama-sama," katanya lagi.

Berpakaian dengan warna oren terang, lautan penyokong Belanda memenuhi jalan-jalan di Hamburg sebelum sepak mula dengan berharap pasukan kesayangan mereka itu mampu memenangi trofi Eropah buat kali kedua.

Ketua jurulatih, Ronald Koeman, yang membimbing Belanda buat kali kedua, pernah memenangi piala berprestij itu bersama Oranje sebagai pemain pada tahun 1988.

Belanda, yang menunjukkan prestasi cemerlang dua tahun lalu di Piala Dunia Qatar selepas gagal layak ke Euro 2016 dan Piala Dunia 2018, memulakan perlawanan dengan pantas.

Walaupun kekurangan bintang seperti generasi terdahulu, antaranya Arjen Robben, Ruud van Nistelrooy dan Robin van Persie, trio serangan mereka ketika ini sangat dinamik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 11:25 PM