AKSI regu Thailand ketika menentang Indonesia, semalam. FOTO BERNAMA
AKSI regu Thailand ketika menentang Indonesia, semalam. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Skuad sepak takraw Thailand tanpa berselindung menyatakan hasrat ingin bertemu Malaysia di pentas akhir dalam semua kategori dipertandingkan di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa.

Jurulatih Thailand, Suphaloek Kimthong berkata, mereka menghantar pasukan dalam acara double, regu serta regu berpasukan dan mempunyai keyakinan amat tinggi untuk membenam cabaran skuad negara di hadapan penyokong sendiri.

Selain itu, beliau memuji tekong Malaysia, Mohammad Syahir Mohd Rosdi yang mempunyai teknik bagus di dalam gelanggang selain mempunyai aura tersendiri ketika bermain.

"Saya jangkakan Malaysia dan Thailand akan bertemu di final (dalam ketiga-tiga acara) dan memang saya ingin bertemu Malaysia di final kerana mereka mempunyai permainan yang bagus.

"Saya sasarkan untuk menang tiga emas dan saya yakin kami boleh menang ke atas Malaysia apabila bertemu di final nanti.

"Pada pandangan saya, tekong Malaysia (Syahir Rosdi) amat baik, psikologi dan saya fikir dia bagus, tetapi saya belum tahu kerana dia perlu tunggu bertemu pasukan Thailand," katanya.

Selain itu, mengulas prestasi semasa Thailand, beliau menyatakan skuad kendaliannya semakin menunjukkan peningkatan di dalam setiap perlawanan.

Malah, jurulatih itu tidak menganggap format baharu iaitu 15 mata satu servis sebagai masalah kerana setiap negara berhadapan situasi sama.

"Selepas dua perlawanan, kami ada peningkatan dan masih cuba untuk mempertingkatkan lagi prestasi semasa pasukan serta akan cuba bermain dengan lebih baik untuk menjadi juara.

"Saya mahu pemain 'enjoy' permainan mereka dan ini pengalaman baharu mereka di Malaysia selain saya lihat ada tentangan yang sengit dari pasukan lain," kata Suphaloek.

Untuk makluman, Thailand adalah kuasa besar sukan sepak takraw dan mereka begitu sukar untuk dikalahkan terutama dalam acara regu dan regu berpasukan.

Bermain di halaman sendiri pada edisi kali ini, Malaysia perlu menggunakan segala peluang dan kelebihan yang ada untuk menebus kembali kekalahan kepada Thailand dalam setiap pertemuan sebelum ini.

//tamat//

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 6:37 PM