DOUBLES negara gagal sumbangkan emas selepas tewas kepada Indonesia. FOTO Mohamad Shahril Badril Saali
DOUBLES negara gagal sumbangkan emas selepas tewas kepada Indonesia. FOTO Mohamad Shahril Badril Saali
Oleh Syazwan Msar


Phnom Penh: Hadiah hari jadi 'kurang mewah' buat jurulatih sepak takraw negara Suhaimi Yusof apabila pasukan Malaysia tewas kepada Indonesia dalam perlawanan akhir acara doubles (regu dua sepasukan) di Sukan Sea Kemboja, sebentar tadi.

Suhaimi, yang menyambut hari jadinya yang ke 54 semalam terpaksa akur hadiah untuknya adalah perak selepas gandingan Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Zawawi tewas kepada wakil Indonesia Saiful Rijal dan Muhammad Hardiansyah Muliang.

Dalam aksi akhir yang berlangsung di Pusat Latihan Nasional Olimpik, Phnom Penh hari ini, regu Malaysia tewas 1-2 (21-16, 16-21, 21-13) sekali gus membawa pulang pingat perak.

Lebih memeritkan adalah acara terbabit satu-satunya harapan utama skuad takraw negara untuk membawa pulang emas memandangkan kategori lain lebih dikuasai oleh Thailand.

"Hendak buat macam mana kalau sudah tiada rezeki? Tetapi tidak mengapa, kita akan terus mencuba untuk esok dalam acara regu, jadi tiada masalah. Kita akan berhadapan Thailand, kalau kita dapat (kalahkan), ia jadi hadiah yang paling bermakna dalam karier saya sebagai jurulatih.

"Dalam perlawanan hari ini, kita nampak apabila selepas mereka membuat pertukaran pemain, ia mengganggu pemain kita untuk membuat hadangan dengan lebih baik," jelas Suhaimi yang turut pernah memenangi pingat emas Sukan Asia Beijing 1990 dan Sukan Sea Manila 1991.

Berdasarkan rekod, Malaysia mempunyai satu lagi peluang untuk membawa pulang emas apabila turun beraksi pada esok dalam acara regu yang disertai hanya empat negara iaitu Singapura, Kemboja serta seteru utama, Thailand.

Berikutan itu, taruhan negara terdiri daripada Syahir Rosdi, Azlan Alias serta Amirul Zazwan Zainal dituntut mengulangi aksi menewaskan Thailand ketika aksi regu berpasukan tempoh hari untuk mencerahkan peluang meraih pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 2:45 PM