PAUL (tiga dari kanan) dan Jin Xuen (dua dari kiri) bersama trofi dan replika cek dimenangi mereka.
PAUL (tiga dari kanan) dan Jin Xuen (dua dari kiri) bersama trofi dan replika cek dimenangi mereka.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain golf Sarawak, Paul San menamatkan penantian untuk bergelar juara Jelajah Toyota apabila merangkul Piala Vios di Templer Park Country, hari ini.

Memasuki pusingan ketiga yang juga terakhir dengan kelebihan satu pukulan, Paul langsung tidak digugat mana-mana pencabarnya apabila membenam lima birdie dan satu bogey untuk empat bawah par 68.

Skor keseluruhan lapan bawah par 208 membolehkan Paul meraih kemenangan bergaya dengan tiga pukulan mengatasi pesaing terdekat yang juga rakan senegeri, Malcolm Ting.

Malcolm tampil dengan aksi tidak kurang hebatnya selepas merekodkan tiga birdie dan satu bogey untuk 70 pukulan, namun terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Bintang veteran, Ben Leong bangkit pada hari terakhir dengan skor cemerlang 65 pukulan untuk berkongsi tempat ketiga bersama tiga pemain lain iaitu Amir Nazrin Jailani, Anson Yeo dan Afif Fathi dengan catatan keseluruhan 212.

Galven Green, yang menyapu bersih dua pusingan pertama Trofi Tun Ahmad Sarji dan Piala Corolla Cross, meneruskan aksi konsisten apabila menduduki tangga ketujuh dengan 216 pukulan.

Paul tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas meraih kejuaraan domestik yang kedua dalam kariernya selepas menjuarai Kejohanan PGM Norhport pada 2022.

"Gelaran Jelajah Toyota ini pasti akan menyuntik semangat saya dan ia membuktikan tahap permainan saya kembali berada pada landasan tepat," kata Paul selepas menerima cek kemenangan lumayan RM31,500.

"Satu demi satu cubaan saya untuk memenangi satu pertandingan Jelajah Toyota akhirnya berhasil jua. Ini mengingatkan saya kembali kenapa saya jatuh cinta dengan sukan ini pada awalnya."

Sementara itu, pemenang pingat emas Sukan Sea, Ng Jing Xuen membuktikan keupayaannya selaku antara pemain golf wanita terbaik tempatan walaupun hanya berstatus amatur.

Dia melakukan catatan cemerlang 67 pukulan untuk mengatasi Aretha Pan dengan tiga pukulan mengungguli Kejohanan Wanita.

Jing Xuen berkata, gandingan mantap dengan ibunya yang tampil sebagai kedi buat kali pertama menjadi kunci kejayaan minggu ini.

"Ya, ini kali pertama dia menjadi kedi saya.

"Namun, dia melakukan dengan baik dan banyak membantu saya untuk mengawal emosi dan menenangkan saya di lapangan.

"Saya berasa teruja dengan kemenangan ini kerana segala kerja keras mendatangkan hasil. Saya tidak sabar untuk kembali beraksi dalam acara profesional dan cuba terus melakar lebih banyak pencapaian bagus selepas ini," kata Jing Xuen.

Jelajah Toyota akan menjelajah Malaysia Timur selepas ini dengan dua pusingan berikutnya - Piala Fortuna dan Piala Hilux - masing-masing akan dilangsungkan di Sibu GCC (Jun 25-27) dan Sabah GCC (16-18 Julai).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 9:11 PM