BECKERS-VIEUJANT pada sidang media menjelang Paris 2024. -FOTO AFP
BECKERS-VIEUJANT pada sidang media menjelang Paris 2024. -FOTO AFP
AFP

Paris: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) tidak bercadang untuk menyekat Israel menjelang Sukan Olimpik Paris berhubung serangan mereka ke atas Gaza, kata seorang pegawai tinggi semalam.

Ketua jawatankuasa penyelarasan IOC untuk Paris 2024 Pierre-Olivier Beckers-Vieujant, berkata konflik di Gaza dan perang Russia di Ukraine yang mana Moscow digantung oleh IOC, adalah "situasi yang berbeza."

"Tidak timbul persoalan menggantung Israel sekarang," kata Beckers-Vieujant kepada pemberita.

"Russia dan ROC melanggar elemen penting Piagam Olimpik. Jawatankuasa Olimpik Palestin dan Jawatankuasa Olimpik Israel tidak begitu, mereka hidup secara aman bersama. Jelas sekali ini situasi berbeza," kata Beckers-Vieujant.

Hanya empat hari selepas Russia menyerang Ukraine pada Februari 2022, IOC dengan lantang memaksa semua persekutuan sukan antarabangsa melarang atlet Russia dan Belarus daripada menyertai pertandingan anjuran mereka serta membatalkan kesemua acara sukan di Russia.

Ketua IOC, Thomas Back berkata, Russia melanggar piagam Olimpik di atas serangan itu, yang berlaku selepas Olimpik Musim Sejuk di Beijing.

IOC menggantung ROC pada Oktober tahun lalu selepas mereka memasukkan organisasi sukan di timur Ukraine yang diduduki Russia sebagai ahli.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 9:45 AM