ATLET lawan pedang Ukraine, Olha Kharlan (kiri) mencetus kontroversi selepas enggan berjabat tangan dengan lawannya Anna Smirnova dari Russia pada kejohanan dunia FIE di Milan, Itali kelmarin.  FOTO AFP
ATLET lawan pedang Ukraine, Olha Kharlan (kiri) mencetus kontroversi selepas enggan berjabat tangan dengan lawannya Anna Smirnova dari Russia pada kejohanan dunia FIE di Milan, Itali kelmarin. FOTO AFP
AFP

Milan: Keengganan atlet lawan pedang Ukraine, Olha Kharlan berjabat tangan dengan lawan dari Rusia, Anna Smirnova seakan membawa tuah buatnya apabila dihadiahkan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

Biarpun Kharlan pada awalnya disingkirkan pada kejohanan dunia ekoran keengganan berjabat salam selepas menewaskan Smirnova, ia kemudiannya menarik perhatian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Presiden IOC, Thomas Bach berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Kharlan menyatakan dia diberi tempat pada Olimpik Paris 2024 tidak kira sama ada dia mengutip mata kelayakan secukupnya atau sebaliknya.

"Sebagai seorang atlet lawan pedang, sukar untuk saya membayangkan apa perasaan anda ketika ini.

"Memandangkan situasi unik anda, IOC akan memperuntukkan satu kuota tambahan buat anda pada Sukan Olimpik Paris 2024 sekiranya anda tidak mampu layak dalam tempoh berbaki selepas ini," katanya.

Dalam pertembungan kedua-dua atlet lawan pedang itu, Kharlan mudah mengatasi Smirnova menerusi kemenangan 15-7 namun selepas aksi itu, atlet Ukraine itu enggan menghulurkan tangan.

Ia simbolik kepada pecerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine sebelum ini, malah apa yang dilakukan Kharlan adalah yang pertama babitkan atlet dari Ukraine.

Smirnova cuba membuat protes selama 45 minit apabila enggan meninggalkan gelanggang pertandingan.

Namun Kharlan kembali ke gelanggang dengan menyatakan tetap tidak berjabat tangan tetapi sebaliknya hanya menyentuh bilah pedangnya dengan lawannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 11:48 AM