HANNAH Yeoh. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
HANNAH Yeoh. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Atlet yang berada dalam program Road to Gold (RTG) sudah menerima pelbagai sokongan yang diperlukan bagi memastikan mereka layak ke pentas Olimpik Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ketika ini tugas atlet pula untuk membuktikan sesuatu sekali gus mendapatkan emas pertama negara di sukan tertinggi dunia itu.

"Sekarang tidak timbul soal duit tidak cukup untuk latihan dan tidak cukup sokongan kerajaan. Beberapa bulan lepas, semua sokongan yang atlet perlukan kita sudah bagi.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga sudah berikan bajet yang mencukupi untuk RTG. Jadi, sekarang bukan persoalan tidak cukup duit sebab semua sudah diberikan.

"Sekarang sehingga Paris (Olimpik 2024), semua di tangan atlet. kena menyerlah dan bersemangat untuk dapatkan emas," kata Hannah ketika ditemui pemberita, hari ini.

Selain itu, Hannah enggan menggulas lanjut berkenaan kegagalan Datuk Pandelela Rinong layak ke Olimpik Paris dalam acara 10 meter (m) platform individu wanita sebaliknya akan menungu sehingga proses kelayakan itu berakhir dahulu.

"Dalam RTG sekarang, atlet masih ada kelayakan ke Paris dan syarat untuk sertai RTG adalah pemenang pingat edisi terdahulu dan Pandelela masuk kategori itu selain berada di kedudukan 10 terbaik di dunia.

"Dalam proses kelayakan, kita kena terima ada yang layak dan ada yang tidak. Ini adalah sukan, jadi kita harap seperti yang disarankan Chong Wei (Datuk Lee Chong Wei) semua atlet kena fokus 120 peratus.

"Mereka kena jadikan ini (meraih emas) bukan impian kita semata-mata, tetapi adalah impian mereka sendiri untuk merangkul emas di temasya berprestij itu," katanya.

Ketika ini, hanya jaguh pecut berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berada prestasi terbaik dalam kalangan atlet RTG apabila meraih emas dalam acara keirin di Piala Negara-Negara Berbasikal Trek UCI di Adelaide.

//tamat//

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 4:49 PM