HANNAH mahu dengar dari mulut atlet sendiri punca kegagalan layak ke Sukan Olimpik Paris.
HANNAH mahu dengar dari mulut atlet sendiri punca kegagalan layak ke Sukan Olimpik Paris.
BERNAMA

Kuantan: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh akan mengadakan pertemuan dengan skuad terjun bagi mengetahui lebih lanjut berhubung kemelut dalaman yang berlaku dalam kem negara sehingga menjejaskan prestasi atlet di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, minggu lepas.

Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong semalam mendedahkan kepada media, terdapat 'gangguan' terhadap skuad terjun negara sehingga mengakibatkan kegagalan mendapatkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya akan jumpa mereka (atlet terjun) dalam masa terdekat, dan mendengar semuanya daripada mereka. Tapi seperti saya beritahu sebelum ini, kita sekarang dalam proses untuk melakukan pembaharuan bagi ekosistem sukan kita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Siap Kerja Trek Sintetik Stadium Darul Makmur di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi & Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Fadzli Mohamad Kamal.

Pandelela gagal melayakkan diri dalam acara 10 meter (m) platform seirama bersama gandingannya Nur Dhabitah Sabri selepas menamatkan saingan final di tempat ke-12 daripada 16 peserta.

Pada Isnin lepas, atlet dalam program Road to Gold (RTG) itu memohon maaf atas kegagalannya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas terkandas pusingan kelayakan di Doha dalam acara 10m platform individu.

Sementara itu, Hannah berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah melakukan pelbagai pembaharuan termasuk memberikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada semua atlet selain jurulatih turut diberikan kenaikan gaji.

"... ada lagi ruang penambahbaikan dan kita akan jalankan lagi program ini sepanjang tahun untuk mendengar daripada kumpulan sasar iaitu atlet, jurulatih, Majlis Sukan Negara (MSN) kerana masing-masing ada justifikasi mereka kenapa benda ini dibuat sebegini tetapi kita akan dengarlah," katanya.

Mengenai atlet di bawah program Road to Gold (RTG), Hannah berkata kerajaan menyediakan semua keperluan termasuk sumber kewangan kepada atlet yang layak dan mana-mana atlet yang bertanding.

"Sesiapa bertanding ada kemungkinan boleh menang ada boleh kalah...layakkan diri dulu. Proses itu masih berjalan antaranya untuk badminton...layakkan diri kemudian buat yang terbaik dan bersungguh-sungguh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 6:13 PM