ERVIN menunjukkan trofi Oder of Merit dimenanginya ketika Majlis Memperkenalkan Siri Jelajah Toyota 2024, hari ini. FOTO AMIRUDIN SAHIB.
ERVIN menunjukkan trofi Oder of Merit dimenanginya ketika Majlis Memperkenalkan Siri Jelajah Toyota 2024, hari ini. FOTO AMIRUDIN SAHIB.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas merangkul Order of Merit Jelajah Toyota 2023, pemain golf negara, Ervin Chang semakin bersemangat untuk meneruskan saingan musim baharu terutama kali pertama bersaing di Jelajah Asia.

Menurut pemain yang merangkul pingat emas di Sukan Sea Hanoi 2021 itu, dia mahu mempertahankan Order of Merit Jelajah Toyota sama seperti musim lalu.

"Ia mungkin sedikit sukar dengan jadual Jelajah Asia dan Jelajah Pembangunan Asia, namun saya akan cuba yang terbaik, beraksi sebanyak mungkin di Jelajah Toyota," katanya yang meraih RM151,796, sekali gus dinobatkan sebagai Order of Merit Jelajah Toyota 2023.

Ujar Ervin, Jelajah Toyota adalah platform terbaik buat pemain tempatan untuk bersaing sesama sendiri terutama dengan kehadiran jaguh seperti Danny Chia, Gavin dan Galven Green.

"Saya kali pertama beraksi di Jelajah Asia untuk musim 2024, jadi sudah pasti akan banyak beraksi di kejohanan itu dan ia bukan mudah seperti mana kita lihat sebelum ini ia sangat kompetitif.

"Apapun saya gembira dapat beraksi di Jelajah Asia selepas menjadi pemain profesional dalam tempoh setahun setengah.

"Perjalanan karier saya berjalan dengan lancar sekali sejak memenangi emas pada 2022, selepas itu menjadi pemain profesional. Selepas setahun setengah meraih Order of Merit pula," katanya di Majlis Memperkenalkan Siri Jelajah Toyota 2024, hari ini.

Sebanyak 10 siri jelajah musim ini dengan membabitkan lapangan baharu termasuk Penang Golf Resort, Royal Pahang Golf Club, Sibu Golf Club, Tiara Melaka Golf & Country Club dan Kota Permai Golf & Country Club.

Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM), Nik Mustapha Nik Mohamed berharap saingan kali ini lebih baik berbanding tahun lalu.

"Kami di PGM melalui perkongsian dengan UMW Toyota Motor dan MST Golf akan berusaha untuk menjadikan 2024 sebagai jelajah lebih menarik untuk pemain.

"Jelajah Toyota akan menampilkan program dan inisiatif jangkauan komuniti menjadikan golf boleh diakses oleh peminat semua peringkat umur, latar belakang dan tahap kemahiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 5:38 PM