PEMENANG Mirai Cup, Ervin bersama trofi yang dimenanginya.
PEMENANG Mirai Cup, Ervin bersama trofi yang dimenanginya.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Siri Golf Jelajah Toyota berada di landasan tepat dalam usaha menyediakan platform terbaik yang mampu menjadi pemangkin kepada pemain golf profesional negara untuk berjaya di peringkat tertinggi.

Dianjurkan oleh UMW Toyota Motor dengan kerjasama Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGM) dan MST Golf, Jelajah Toyota antara kejohanan golf profesional utama di Malaysia, yang mencerminkan usaha syarikat kenderaan terkemuka itu memartabatkan sukan elit itu.

Ia bukan sahaja menyediakan platform kompetitif, malah mengangkat sukan golf profesional di Malaysia dengan pelbagai aktiviti menarik dan venue berkelas dunia.

Selepas tamatnya lima pusingan Jelajah Toyota, pemain muda negara kini mampu membuktikan keupayaan mereka untuk bergelar bintang masa depan dan ia terbukti selepas apa yang dipamerkan di lapangan sukar dan mencabar seperti Kelab Golf Saujana, Kelab Golf Sarawak, Kelab Golf Sabah dan terbaru di Kelab Golf Templer Park.

Paling mencuri tumpuan adalah Ervin Chang, pemenang dua pingat emas di Sukan Sea Hanoi 2022 yang berjaya mengukuhkan kedudukan selepas tamatnya empat pusingan Jelajah Toyota 2023.

Ervin berjaya mengekalkan penguasaannya dalam ranking wang kemenangan Jelajah Toyota selepas muncul naib juara di Piala Vios di Templer Park.

Terdahulu pada Mei lalu, Ervin melakarkan kejutan apabila meraih kemenangan profesional pertamanya di Piala Mirai di Kuching.

Pemain berusia 24 tahun dari Kajang itu tidak hanya mampu untuk melakukan pukulan drive yang jauh dengan baik malah lebih mengagumkan dia turut mempunyai sentuhan sempurna di kawasan green ketika melakukan putt.

BINTANG masa hadapan, Shahriffuddin (kiri) dan Ervin.
BINTANG masa hadapan, Shahriffuddin (kiri) dan Ervin.

Mengulas mengenai kemenangannya di Kuching, Ervin berkata, sokongan berterusan daripada Toyota dalam memangkin sukan itu di Malaysia memberi lebih banyak peluang kepada pemain amatur untuk berjaya.

"Sokongan daripada Toyota amat bermakna untuk golf di Malaysia yang mana ia memberi peluang kepada pemain amatur terbaik menyinar selain memberi peluang kepada pemain profesional membuat persediaan berdepan cabaran mencabar di peringkat antarabangsa," katanya.

Kejohanan yang berlangsung di Kuching itu juga menyaksikan penyertaan beberapa pemain bintang meningkat naik dalam kategori lelaki antaranya Edven Ying yang menang di Templer Park, Paul San, Shahriffuddin Ariffin, Galven Green bersama Wafiyuddin Manaf, Daeng Abdul Rahman, Danial Faidz dan Amir Nazrin.

Jelajah Toyota turut menarik minat bintang veteran seperti Danny Chia, 51, yang memenangi saingan pembukaan di Saujana; R Nachimuthu, Sukree Othman, Wilson Choo, Shaifubari Muda, Airil Rizman, Ben Leong, Khor Kheng Wai dan pemenang Piala Hilux di Sabah, Nicholas Fung.

Persembahan pemain wanita profesional juga tidak kurang hebatnya diketuai Aretha Pan yang mendahului ranking wang kemenangan selepas lima pusingan.

Dia mencipta kegemilangan apabila memenangi perlawanan pusingan pertama Trofi Tun Ahmad Sarji di Saujana dan kemudian menamatkan saingan di tempat kedua di Sabah.

Sementara itu Jocelyn Chee, yang pemain menjadi profesional Februari lalu membuktikan bahawa Jelajah Toyota mampu menjadi platform terbaik untuk bintang baharu sepertinya apabila merangkul kemenangan sulungnya di Piala Vios di Templer Park.

Jelajah Toyota mencipta begitu banyak persaingan dan keterujaan dalam kalangan pemain profesional dan amatur terkemuka.

BINTANG veteran, Danny Chia beraksi di Jelajah Toyota.
BINTANG veteran, Danny Chia beraksi di Jelajah Toyota.

Ia diperakui oleh Shahriffuddin yang pernah bermain dalam siri Jelajah Asia.

"Persaingan di setiap pusingan sangat hebat. Penjenamaan ada di mana-mana malah terdapat muzik pada kotak tee pertama dan ke-10," katanya.

Antara objektif utama penganjuran Jelajah Toyota adalah untuk merapatkan jurang antara golf profesional dan amatur, sekali gus membina hubungan lebih kukuh bagi membantu meningkatkan industri golf.

Toyota turut melancarkan program Junior Elit yang akan menyediakan platform buat pemain ke peringkat tinggi seperti Sukan Sea, Sukan Asia, Piala Putra, Eisenhower Trophy dan akhirnya, golf profesional.

Program itu membabitkan 12 pemain remaja dipilih dari seluruh negara membabitkan enam lelaki lelaki dan enam perempuan.

Mereka yang terpilih menjalani latihan intensif dan holistik selama 15 minggu di bawah pengawasan jurulatih profesional terbaik Malaysia.

Ben Leong turut berkongsi pandangan mengenai penganjuran Jelajah Toyota.

"Sangat bagus mempunyai penaja utama dalam jelajah seperti ini kerana ia mampu memartabatkan golf profesiona. Ia amat menyeronokkan untuk pemain," katanya.

AKSI Aretha ketika menyertai Siri Golf Jelajah Toyota.
AKSI Aretha ketika menyertai Siri Golf Jelajah Toyota.

Malah beberapa pemain seperti Ervin, Shahriffuddin dan Paul turut mengadakan aktiviti bersama orang ramai yang hadir.

Mereka menghabiskan masa bersama peminat golf di Arena MST di Arena Gardens di sesi pagi dengan memberi petua mengenai hayunan dan pukulan, menyertai pertandingan Beat the Pro dan berkongsi pengalaman mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 3:18 PM