JOHAN pernah menyumbangkan emas buat kontinjen Sarawak di Sukma. FOTO FB Johan
JOHAN pernah menyumbangkan emas buat kontinjen Sarawak di Sukma. FOTO FB Johan
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching : Sejak mencetus sensasi selepas mencatatkan prestasi mengagumkan dalam arena muay thai antarabangsa, ramai yang berdebat mengenai negeri asal jaguh muda sukan tempur itu, Muhamad Johan Ghazali.

Ada netizen berbalah dengan ada yang mendakwa Johan yang mesra disapa Jojo itu berasal dari Perak malah ada yang mengatakan berasal dari Kuala Lumpur.

Namun pastinya ramai yang mengatakan Jojo berasal dari Sarawak, negeri tempat tinggalnya sekarang apatah lagi dia fasih berbahasa Melayu Sarawak.

Malah Jojo juga pernah mewakili Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan menyumbang pingat emas dalam acara disertainya.

Perdebatan asal usul jaguh sukan tempur berusia 17 tahun itu mula kedengaran sejak dia muncul juara Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA di Petaling Jaya, Selangor pada Ogos 2022.

Namanya terus sensasi selepas menumbangkan Padetsuk Fairtex dari Thailand dengan masa terpantas hanya 16 saat pada kemunculan sulung di arena ONE Championship ketika usianya hanya 16 tahun, Februari lalu.

Perdebatan negeri mana asal Johan berterusan apabila dia terus mencetus sensasi dengan memenangi semua lima pertarungan yang dilalui di arena ONE Championship.

Ia termasuk kejayaan terkini menumpaskan juara Muay Thai Antarabangsa WBC dari Mexico, Edgar Tabares dalam penampilan sulung aksi Primetime US, ONE Championship, 8 Disember lalu.

Menyedari asal usulnya menjadi perdebatan, dua hari lalu pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Thomas, Kuching itu tampil dengan video bagi merungkai persoalan kalangan peminatnya.

"Kalau korang (anda) nak tahu aku sebenarnya asal dari mana...datuk aku berasal daripada Lenggong, Perak dan bapa aku membesar di KL (Kuala Lumpur). (Tapi) sebenarnya aku orang Malaysia lah.

"Korang tak patut kesah pun aku dari mana Perak ke, Semenanjung ke, Sarawak ke, Sabah ke, dari Pulau Pinang ke (sebab) yang penting aku orang Malaysia," katanya.

Dalam video berdurasi 52 saat itu, Jojo berkata, dia amat bangga menjadi orang Malaysia.

"Aku ada pasport Malaysia, kalau aku oergi fight (bertarung) mana-mana aku bawa bendera Malaysia.

"Memang target nak naikkan nama Malaysia, bkan nak naikkan nama negeri satu satu (mana-mana negeri) sebab aku dah fight di pentas dunia dan aku memang nak bawa nama Malaysia," katanya.

Beliau sempat berpesan kepada penggemarnya agar mengucapkan tahniah kepada atas kapasiti Malaysia apabila dia mencapai kejayaan dalam mana-mana kejohanan yang disertainya

"Untuk korang yang selalu tanya Johan dari mana lepas tu untuk orang yang selalu komen seperti tahniah anak Perak ke, tahniah anak Sarawak ke, tak perlu lagi.

"Cakap je tahniah anak Malaysia, sebab aku bangga jadi orang Malaysia.

"Kita semua patut bersatu padu tahu awak, sebab tak kesahlah dari negeri mana yang penting aku orang Malaysia," katanya menutup perbualan.

Anak muda kacukan Melayu-Amerika Syarikat (AS) itu yang juga cucu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pengerusi New Straits Times Press (NSTP), Allahyarham Jeneral (B) Tan Sri Ghazali Che Mat, berpindah ke Sarawak pada tahun 2015 mengikuti bapanya yang bertugas sebagai pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bapanya, Senior Asisten Komisioner Zulfikar Ghazali yang kini adalah Komandan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching pernah memegang beberapa jawatan penting di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak termasuk Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 11:54 AM