JOHAN (dua dari kiri) berjaya kalahkan juara Muay Thai Antarabangsa WBC. FOTO Ihsan One Championship
JOHAN (dua dari kiri) berjaya kalahkan juara Muay Thai Antarabangsa WBC. FOTO Ihsan One Championship
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Jaguh remaja muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar membuktikan dirinya sememangnya berhak berada dalam pentas ONE Championship selepas menjadikan juara Muay Thai Antarabangsa WBC, Edgar Tabares sebagai mangsa terbaharunya apabila hanya memerlukan 36 saat (s) untuk mencatat kemenangan sebentar tadi.

Anak kelahiran Sarawak ini berjaya melakukan pukulan 'knockout' (KO) di pusingan pertama dalam pertarungan ONE Fight Night 17 di Stadium Tinju Lumpinee di Bangkok, Thailand sekali gus membuktikan dirinya sememangnya berhak berada di arena berkenaan.

Dalam pertarungan itu, Johan atau lebih popular dengan Jojo terus menyerang sebaik perlawanan dimulakan dengan melepaskan beberapa tumbukan tepat di muka dan tulang rusuk sehingga lawannya jatuh serta sukar untuk bangun semula bagi meneruskan perlawanan.

Bagi Jojo, kejayaan ini sebagai permulaan dan selepas ini dirinya sedar lebih besar cabaran yang harus dihadapi namun dia sudah bersedia ke arah itu.

"Ia menakjubkan. Saya berada di pentas besar sekarang dan ini adalah permulaan, banyak lagi pertarungan besar akan datang.

"Saya akan ambil masa saya, langkah demi langkah. Nama saya Johan dan dalam bahasa Melayu ia bermakna juara.

"Saya akan meneruskan misi saya untuk menjadi juara termuda One Championship Muay Thai," katanya.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama atlet berusia 17 tahun menewaskan lawannya di bawah seminit.

Malah jaguh Thailand, Padetsuk Fairtex juga pernah menjadi mangsa Jojo apabila tewas KO pertarungan Flyweight Muay Thai dalam masa 0.16s sahaja sebelum ini.

Terdahulu, Arena Metro pernah melaporkan kecemerlangan ditampilkan Jojo menewaskan lawan dari Rusia, Temirlan Bekmurzaev dalam acara ONE Friday Figh telah membuka mata banyak pihak menyebakan ONE Championship memberikan kontrak bernilai AS$100,000 (RM473,507) kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 11:52 AM