JOJO (kiri) hanya memerlukan 36 saat untuk menewaskan Tabares pada pertarungan Jumaat lalu, sedangkan Rodtang memerlukan dua pusingan untuk menundukkan Tabares.
JOJO (kiri) hanya memerlukan 36 saat untuk menewaskan Tabares pada pertarungan Jumaat lalu, sedangkan Rodtang memerlukan dua pusingan untuk menundukkan Tabares.
Lydia Saiful


Kuala Lumpur: Edgar Tabares mengakui kehebatan petarung muay Thai Malaysia, Johan 'Jojo' Ghazali.

Bintang Mexico yang ditewaskan dalam tempoh 36 saat (s) ketika pertarungan di Stadium Tinju Lumpinee di Bangkok, Jumaat lalu itu membuat siaran langsung di Facebook ketika bertemu dengan peminatnya.

Tabares berkata, Jojo adalah atlet yang mempunyai kemampuan kuat dan disebabkan tumbukan padu, dia hanya memerlukan 36s untuk menewaskannya.

"Pukulan 'knockout' (KO) itu terkena berhampiran dengan hati sehingga terasa sampai ke perut.

"Jojo menunjukkan kekuatan lebih hebat berbanding Rodtang, walaupun Rodtang dianggap sebagai idola Jojo.

"Rodtang mengalahkan saya pada pusingan kedua, tetapi Jojo hanya memerlukan masa 36 saat sahaja" katanya.

Malah, tinjauan Arena Metro di Facebook Sarawak Viral News, mendapati ada antara penyokong Muay Thai memuji sikap rendah diri ditunjukkannya walaupun kalah dalam perlawanan lalu.

"Tahniah Jojo, Respect Tabares, humble, dia memuji opponent & merendah diri. Bole jadi contoh pada jojo!," kata Zaidi Saad.

Seorang lagi menambah: "Tabares jujur dan sentiasa positif terhadap pihak lawan. Anda juga JUARA di hati peminat."

Melalui siaran langsung itu, seorang peminat bertanya, "adakah 'dia' (Jojo) bakal menjadi bintang dan Tabares menjawab 'ya, semestinya'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 7:35 PM