JOHAN tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, malam tadi selepas memenangi pertemuan dengan Tabares di Bangkok. FOTO Nadim Bokhari
JOHAN tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, malam tadi selepas memenangi pertemuan dengan Tabares di Bangkok. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi

Kuching : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof optimis bintang muda muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar mampu pergi lebih jauh dalam sukan tempur itu.

Fadillah berkata, kejayaan meraih gelaran juara kategori catchweight Muay Thai Primetime US, ONE Championship 2023 ketika berdepan lawan lebih berpengalaman di Bangkok, Thailand, Jumaat lalu membuktikan keupayaan anak muda kelahiran Kuala Lumpur yang lebih dikenali sebagai Jojo.

Malah Fadillah turut percaya kejayaan Jojo itu akan menjadi pendorong kepada Kelab Muay Thai Rentap di Sarawak untuk melahirkan lebih ramai atlet sukan tempur.

"Pada usia baru menjangkau 17 tahun, saya percaya Jojo yang kini mewakili Kelab Muay Thai Rentap boleh pergi lebih jauh, mengharumkan nama Malaysia di persada dunia, Insya-Allah.

"Syabas juga kepada Kelab Muay Thai Rentap Sarawak dan semoga dapat melahirkan lebih ramai jaguh muay thai untuk negara," katanya dalam Facebook, malam tadi.

Dalam pertarungan ONE Fight Night 17 di Bangkok, Thailand, Jumaat lalu, Jojo menewaskan juara MuayThai Antarabangsa WBC dari Mexico, Edgar Tabares.

Malam tadi, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Thomas itu selamat kembali ke Kuching bersama jurulatihnya, Addy Singpayak, dan akan memberi fokus sepenuhnya kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan didudukinya tidak lama lagi.

Selain menumbang Tabares, Jojo pernah menumbangkan petarung Russia, Temirlan Bekmurzaev, Oktober lalu.

Dua lagi perlawanan turut dimenanginya dengan pukulan KO iaitu ketika berdepan cabaran Tai Sor Jor Piek Uthai dari Thailand, Mei lalu, manakala pada kemunculan sulung di arena ONE Championship Februari lalu, Jojo menumbangkan Padetsuk Fairtex dari Thailand.

Jojo turut mencipta sejarah sebagai atlet tempur termuda memperoleh kontrak AS$100,000 (RM467,000) dengan ONE Championship Thailand selepas menumbangkan Bekmurzaev, Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 11:43 AM