ARIARNE kesuntukan masa untuk mempersiapkan diri menjelang Olimpik tahun depan. FOTO AFP
ARIARNE kesuntukan masa untuk mempersiapkan diri menjelang Olimpik tahun depan. FOTO AFP
Reuters

Melbourne: Juara renang Olimpik, Ariarne Titmus berkata dia masih ketinggalan untuk persiapan ke temasya berkenaan tahun depan selepas berehat bagi menjalani pembedahan ovari.

Kembali ke pertandingan buat kali pertama sejak Julai di Kejohanan Negeri Queensland, Ariarne menduduki tempat kedua di belakang pemegang rekod dunia, Mollie O'Callaghan dalam saingan 200 meter (m) gaya bebas akhir semalam di Pusat Akuatik Brisbane.

Juara Olimpik 200 dan 400m gaya bebas itu berkata dia gembira dapat menjalani pembedahan itu pada September selepas doktor menemui tumor pada ovarinya.

Bagaimanapun, dia berkata mempunyai masa terhad mempersiapkan diri bagi mempertahankan gelarannya di Sukan Olimpik Paris yang bermula Julai tahun depan.

"Saya benar-benar bermain mengejar masa, cuba melakukan seberapa banyak persiapan yang saya boleh, jadi saya agak terganggu berlumba di sini," katanya kepada media Australia.

"Saya tahu dalam perjalanan kembali beraksi dan saya tidak boleh membaca terlalu banyak mengenai aksi saya di sini.

"Saya pasti masih mempunyai masa, tetapi saya tidak ada masa untuk disia-siakan. Saya mungkin fikir saya sebenarnya berada dalam kedudukan yang lebih baik sekarang daripada yang saya fikirkan."

Ariarne mendedahkan dia berjaya menjalani pembedahan di media sosial pada bulan September, menggambarkan bagaimana dia gusar mengenai kehilangan keupayaan untuk mempunyai anak sebelum menjalani pembedahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 1:46 PM