PERENANG AS, Katie Ledecky mengesahkan status sebagai ratu jarak jauh apabila menang emas acara 800m dan 1,500m gaya bebas wanita di Tokyo 2020. FOTO EPA
PERENANG AS, Katie Ledecky mengesahkan status sebagai ratu jarak jauh apabila menang emas acara 800m dan 1,500m gaya bebas wanita di Tokyo 2020. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Perenang sensasi Amerika Syarikat (AS), Katie Ledecky memberi amaran dia masih lagi berenang pada 2028 selepas menang emas ketika Sukan Olimpik berturut-turut dalam acara 800 meter (m) gaya bebas wanita, hari ini, yang juga medal keempatnya di Tokyo 2020.

Perenang berusia 24 tahun itu mencatatkan masa 8 minit 12.57 saat mengatasi musuh ketat dari Australia, Ariarne Titmus yang mencatat masa peribadi terbaik, 8:13.83s untuk menang perak manakala perenang Itali, Simona Quadarella menang gangsa (8:18.35).

Katie kini mengumpul 10 pingat Sukan Olimpik iaitu tujuh emas serta tiga perak dan menegaskan ia bukanlah perlumbaan terakhirnya.

"Ia bukan renangan terakhir saya," kata Katie. "Saya mungkin bertarung lagi sehingga 2024 atau mungkin 2028, kita lihat nanti. Saya sedar ini aksi terakhir saya di sini. Anda tidak boleh mengambil mudah dan perlu memberi tumpuan untuk menang semuanya."

Katie adalah wanita ketiga menang acara sama dalam tiga Sukan Olimpik berturut-turut.

"Ia sangat luar biasa. Saya mahu menamatkan semuanya dalam keadaan terbaik," kata Katie.

"Saya sangat gembira dan sangat keletihan."

Ariarne sebelum ini menewaskan Katie dalam acara 200m dan 400m gaya bebas di Tokyo 2020, tetapi Katie jelas ratu bagi acara jarak jauh apabila turut menang emas acara 1,500m.

Dia mengatasi perenang lain dalam acara 800m sejak 2012, selepas menang di Olimpik London 2012 dan Rio 2016. selain empat gelaran berturut-turut di Kejuaraan Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 11:24 PM