PERENANG Australia, Ariarne Titmus bersama pingat emas acara 200m gaya bebas wanita di Tokyo 2020, hari ini. FOTO EPA
PERENANG Australia, Ariarne Titmus bersama pingat emas acara 200m gaya bebas wanita di Tokyo 2020, hari ini. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Sekali pandang, Ariarne Titmus tidak sepadan dengan nama jolokan 'The Terminator' untuk menggambarkan prestasi sebenar perenang wanita Australia.

Tetapi, apabila masuk ke kolam renang di Tokyo 2020, perenang berusia 20 tahun itu yang dikenali sebagai 'Arnie' menunjukkan kehebatan dan sentuhan pembunuh sama seperti robot bermata laser merah dalam filem dilakonkan Arnold Schwarzenegger itu.

Sasarannya sudah tentu legenda gaya bebas Amerika Syarikat (AS), Katie Ledecky yang tidak pernah kalah dalam acara akhir individu di Sukan Olimpik sebelum Tokyo 2020.

Setakat ini, Ariarne dan Katie sudah dua kali berentap di Jepun dan kedua-duanya dimenangi perenang Australia itu.

Ariarne mempercepatkan kuakannya dalam acara 400 meter (m) gaya bebas untuk mencatat masa kedua terpantas dalam sejarah iaitu 3 minit 56.69 saat.

Ariarne kemudian memecahkan rekos Sukan Olimpik untuk menang pingat emas 200m gaya bebas dengan catatan 1:53.50s, hari ini, manakala Katie, 24, sekadar menduduki tempat kelima.

Kedua-dua akan bertarung lagi dalam acara 800m gaya bebas dan 4x200m berganti-ganti untuk menghangatkan pertarungan di kolam renang, yang amat dinantikan ramai.

"Memang seronok dapat berlumba dengan perenang sehebat Katie - ia membuatkan semua orang teruja, termasuk saya," kata Ariarne.

Bagaimanapun, Katie menenangkan diri di Tokyo 2020 apabila menang emas acara 1,500m - acara tidak disertai Ariarne - dan pingat perak 400m, untuk mengumpul keseluruhan lima emas dan satu perak.

Berasal dari pulau Tasmania, Ariarne berpindah ke utara Queensland lima tahun lalu untuk mendapatkan kemudahan latihan lebih baik dan perhatian rapi jurulatih.

Dia kemudian dibimbing Dean Boxall, yang mencuri tumpuan apabila meraikan kemenangan Ariarne dalam acara 400m dengan apa yang disifatkan liar dan ganas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 9:03 PM