PERENANG Australia meraikan kejayaan mereka memecahkan rekod dunia bagi acara 4x200 meter (m) gaya bebas berganti-ganti wanita, hari ini. FOTO AFP
PERENANG Australia meraikan kejayaan mereka memecahkan rekod dunia bagi acara 4x200 meter (m) gaya bebas berganti-ganti wanita, hari ini. FOTO AFP
AFP

Fukuoka: Australia memecahkan rekod dunia bagi acara 4x200 meter (m) gaya bebas berganti-ganti wanita di Kejohanan Akuatik Dunia dengan catatan 7 minit 37.50 saat (s), hari ini.

Gandingan Amerika Syarikat (AS) di tempat kedua dengan 7:41.38s manakala China di tempat ketiga dengan 7:44.40s.

Kuartet Ariarne Titmus, Mollie O'Callaghan, Shayna Jack dan Briana Throssell memecahkan rekod dunia 7:39.29s yang dilakukan gandingan Australia di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Ariarne yang sebelum itu memenangi gelaran 400m gaya bebas individu dengan rekod dunia, berkata kunci kejayaan mereka adalah semua orang bekerja keras dalam latihan setiap hari.

"Kami berlatih bersama-sama setiap hari dan apabila datang ke sini serta memecahkan rekod dunia bersama-sama, ia pencapaian cukup istimewa buat kami," katanya.

Pasukan 4x100m gaya bebas Australia turut memecahkan rekod dunia pada awal kejohanan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 10:20 PM