NORALBANIAH syukur masih terima tawaran berlakon hingga kini. - FOTO Aziah Azmee
NORALBANIAH syukur masih terima tawaran berlakon hingga kini. - FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


Ungkapan 'ibu ratu hatiku' adalah sesuatu yang cukup indah bagi insan bergelar wanita.

Apatah lagi, tiada ibu yang tidak menyayangi anaknya dan sentiasa bersikap memaafkan tanpa mengira berapa banyak silap dibuat.

Bagi pelakon wanita senior, Noralbaniah, 54, mengakui dia tidak mahu lagi mengenang sejarah hitam yang dilalui anak tunggalnya, Syarra Sudarman, 29, yang pernah dipenjarakan akibat penyalahgunaan dadah pada Januari tahun lalu.

Noralbaniah atau nama sebenarnya, Nor Albaniah Raffie yang sehingga kini aktif berlakon berkata, dia lebih selesa memikirkan perkara positif kerana itu lebih baik dan tidak perlu mengenang terus tragedi sudah berlalu.

"Alhamdulillah, Syarra pun sudah dibebaskan sejak Mei tahun lalu dan ketika ini, dia juga mempunyai kehidupan yang tenang serta baik-baik saja.

"Semuanya dah berjalan seperti biasa dan Syarra pun okay. Sebagai ibu, saya amat bersyukur dengan kehidupan berdikari yang dijalaninya dan terus menitip doa buatnya setiap hari supaya dilindungi Allah.

"Tiada apa yang nak diceritakan lagi dan saya pun tidak mahu terus bercakap mengenai perkara ini. Saya mahu biar Syarra belajar daripada kesilapannya itu dan dia juga sudah menerima hukuman," katanya.

NORALBANIAH tak kisah sering lakon watak sama iaitu isteri dan ibu.- FOTO Aziah Azmee
NORALBANIAH tak kisah sering lakon watak sama iaitu isteri dan ibu.- FOTO Aziah Azmee

Syarra adalah anak hasil perkongsian hidup Noralbaniah dengan suami, Allahyarham Sudarman Daud yang juga pelumba kereta, namun meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 10 Jun 1996 selepas dua tahun mereka berkahwin.

Meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal, rezeki Noralbaniah dalam karier seni lakonnya tidak putus sama ada tawaran membintangi drama, telefilem dan filem.

Pada 2 Mei lalu, Noralbaniah muncul dengan filem aksi, Rebel: Berontak Untuk Berotak yang diarahkan Datuk Awie.

Mengangkat kisah dua pemuda daripada satu pertubuhan kumpulan sama iaitu Luka (lakonan Ben Amir) dan Bono (MK K-Clique) yang bermusuh, Noralbaniah melakonkan watak sebagai ibu Luka.

"Pada usia yang sudah meningkat ini, saya banyak melakonkan watak isteri dan ibu. Bagi saya, tidak kisah berlakon watak sama kerana setiap karya naskhah diterima itu berbeza jalan ceritanya.

"Saya berlakon kerana minat dan apabila masih mendapat tawaran (berlakon), saya bersyukur dan sentiasa memberi komitmen terbaik dalam hasil kerja saya.

"Pengalaman berlakon dalam filem Rebel: Berontak Untuk Berotak ini juga menarik kerana diarahkan oleh anak seni popular dan seperti Datuk Awie. Seronok ketika penggambaran," katanya.

Selain Noralbaniah, Ben dan MK, filem Rebel: Berontak Untuk Berotak yang menelan bajet pembikinan hampir RM1 juta itu, turut dbintangi oleh Awie sendiri, Shikin Kamal, Azlan Komeng dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 6:47 AM