ARIARNE mula langkah kanan di Fukuoka. FOTO AFP
ARIARNE mula langkah kanan di Fukuoka. FOTO AFP
Reuters

Fukuoka: Penyandang juara Olimpik Ariarne Titmus dari Australia memecahkan rekod dunia ketika dia melakar kemenangan dalam perebutan gelaran 400 meter (m) gaya bebas wanita pada hari pembukaan acara renang di Kejohanan Akuatik Dunia hari ini.

Ariarne mengatasi catatan yang dilakukan oleh perenang remaja Kanada, Summer McIntosh pada kejohanan kebangsaan awal tahun ini, dengan menamatkan renangan tiga minit, 55.38 saat (s), 3.35s di depan pemenang pingat perak dan juara 2022, Katie Ledecky.

Pertembungan antara ketiga-tiga mereka mencetuskan sensasi 'perlumbaan abad ini', 20 tahun selepas Ian Thorpe menewaskan Pieter van den Hoogenband dan Michael Phelps di Sukan Olimpik Athens 2004 dan Ariarne yang meletakkan penanda aras untuk Sukan Olimpik Paris tahun depan.

Erika Fairweather dari New Zealand mengenepikan Summer untuk meraih gangsa, dengan menamatkan aksi 4.21s di belakang Ariarne.

Terdahulu, Sam Short dari Australia memenangi perlumbaan 400m gaya bebas lelaki setahun selepas rakan senegaranya Elijah Winnington mencatat kemenangan.

Short, 19, mencatat masa 3:40.68s untuk mengetepikan juara Olimpik, Ahmed Hafnaoui dari Tunisia yang ketinggalan 0.02s manakala Lukas Martens dari Jerman ketinggalan 1.52s di belakang pemenang untuk meraih pingat gangsa.

Winnington, yang merangkul kejuaraan di Budapest tahun lalu, berada di tempat ketujuh daripada lapan pesaing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 8:41 PM