HANIS Nazirul (kiri) dan Ng Yan Yee (kanan) bergambar bersama pingat  dimenangi dalam acara 3 meter papan anjal seirama  di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.
HANIS Nazirul (kiri) dan Ng Yan Yee (kanan) bergambar bersama pingat dimenangi dalam acara 3 meter papan anjal seirama di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penerjun lelaki negara Hanis Nazirul Jayasurya tidak berasa sedih atau putus asa walaupun peluangnya untuk beraksi di pentas Olimpik Paris 2024 dilihat seakan sudah berkubur.

Hal ini kerana, tindakan penerjun berusia 22 tahun itu menukar 'bidang' daripada acara platform ke papan anjal sejak akhir Mei lalu menyebabkan peluangnya beraksi di temasya empat tahun sekali itu cukup sukar.

Hanis berkata, dia tidak putus harapan dan bersedia membuat 'comeback' dengan menyahut cabaran untuk layak ke pentas Olimpik kelak.

"Secara realistiknya, agak sukar untuk saya layak ke Paris 2024. Namun perjalanan saya dalam sukan terjun masih jauh dan saya mahu layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

"Saya perlu berusaha lebih kuat dan ketika ini sasaran saya masih sama iaitu mahu beraksi di pentas tertinggi itu," katanya.

Selain itu, penerjun berasal dari ibu kota itu berkata, dia masih memerlukan masa untuk sesuaikan diri dengan acara papan anjal, selepas bertanding dalam acara platform sejak tujuh tahun lepas.

"Saya mahu memberikan peluang kepada 'junior' saya di acara platform untuk naik, jika tidak mereka tidak akan maju ke depan. Seperti diketahui, kita mempunyai ramai lagi penerjun lelaki berbakat besar dan mereka perlu mempunyai ruang dan peluang untuk beraksi pada masa akan datang," katanya.

Mengikut rekod, ketika ini antara atlet terjun platform lelaki negara termasuklah Bertrand Rhodict Lises, yang sudah pun layak ke Paris 2024 dan Enrique Maccartney Harold.

Sementara itu Hanis Nazirul menyatakan kesediaannya kepada idea untuk berpasangan dengan Wendy Ng Yan Yee dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama pada masa hadapan.

Perkara itu berkemungkinan selepas pasangan 'bidan terjun' itu muncul juara dalam acara 3meter (m) papan anjal seirama campuran, selepas mengumpulkan 262.80 mata, pada hari terakhir kejohanan itu yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Malaysia muncul juara keseluruhan pada kejohanan tiga hari dengan lima emas, tiga perak dan tiga gangsa, diikuti Sarawak (2-2-0) manakala Uzbekistan ketiga (2-1-1).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 12:25 PM