HANIS Nazirul (kiri) dan Wendy menunjukkan pingat emas dimenangi mereka. FOTO BERNAMA
HANIS Nazirul (kiri) dan Wendy menunjukkan pingat emas dimenangi mereka. FOTO BERNAMA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Gandingan 'bidan terjun' Hanis Nazirul Jayasurya-Wendy Ng membuktikan berlatih tidak sampai seminggu bukan penghalang buat mereka untuk meraih pingat emas dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama campuran di Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Mereka mengumpul keseluruhan 262.8 mata untuk mengalahkan pasangan Sarawak, Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin-Soh Tze Kang yang memungut 213.06 mata dan gangsa diraih pasangan dari Kuala Lumpur, Choo Jin Wei-Ameera Irdina Mazwan (183.6).

Menurut Wendy, secara keseluruhan dia dan Hanis Nazirul memberikan persembahan terbaik walaupun pada saat akhir mempersiapkan diri untuk mengambil bahagian dalam acara berkenaan.

"Keputusan ini, walaupun tak ramai penyertaan, bagi kami ia sangat baik. Perjalanan kami masih lagi jauh.

"Ini kali pertama kami berdua bergandingan untuk menyertai kejohanan. Kami hanya berlatih dalam dua hingga tiga hari," kata atlet berusia 30 tahun itu.

Sementara itu, Hanis Nazirul berkata, dia berharap dapat bergandingan lagi dengan Wendy untuk kejohanan akan datang.

"Sebenarnya bukan mudah dan ia agak mengejutkan apabila kami diberitahu akan bergandingan bersama kerana saiz kami berbeza. Saya lebih kepada platform dan Wendy pula papan anjal.

"Bagaimanapun, kami berjaya melaksanakan tugas untuk meraih emas bersama.

"Ia mungkin sukar jika di kejohanan besar, tapi saya rasa kami boleh terus untuk berpasangan pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, hasrat untuk melihat satu lagi kilauan emas diraih penerjun negara tidak kesampaian apabila Jellson Jabilin hanya meraih perak dalam acara 10m platform lelaki selepas mengumpul 406.00 mata.

Seorang lagi penerjun negara yang sudah mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024, Bertrand Rhodict Lises meraih gangsa apabila memungut 366.35 mata dan emas menjadi milik wakil Uzbekistan, Igor Myalin (428.55).

Bagi saingan 3m papan anjal seirama wanita, pasangan Kuala Lumpur, Ameera Irdina-Angeline Lee meraih gangsa selepas mengumpul 174.21 mata.

Emas diraih wakil Singapura, Clara Liaw-Alycia Charlotte Lim yang meraih 218.46 mata selepas mengetepikan gandingan Hong Kong, Chan Tsz Ming-Leung Ka Sin (205.35).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 7:31 PM