PANDELELA (kiri) dan Dhabitah sedang memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PANDELELA (kiri) dan Dhabitah sedang memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kejohanan Dunia yang bakal berlangsung di Fukuoka, Jepun, bulan depan bakal menjadi medium terbaik buat dua penerjun berpengalaman negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri mengesahkan slot awal ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Berdasarkan kepada penyertaan di kejohanan terbabit, Pandelela yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 akan beraksi dalam acara kegemarannya 10 meter (m) platform individu wanita manakala Dhabitah yang mengakhiri saingan di tempat keempat di Olimpik Tokyo 2020 bersaing bagi acara 3m papan anjal invidu wanita.

Jurulatih terjun negara, Datuk Leong Mun Yee berkata, kemungkinan besar dua penerjun negara itu tidak berdepan masalah untuk berada dalam kelompok 12 terbaik sekali gus mengesahkan tiket ke Paris.

"Persiapan untuk menghadapi Kejohanan Dunia kali ini berjalan dengan baik. Kalau kita tengok kali ini memang peluang adalah lebih tinggi untuk Pandelela dan Dhabitah melayakkan diri ke Sukan Olimpik tahun depan.

"Atlet lain juga saya harap akan menampilkan persembahan terbaik untuk cuba melayakkan diri. Namun, kalau tidak layak, masih ada peluang menerusi Kejohanan Dunia tahun depan," katanya.

Mengikut rekod, kategori individu menyaksikan 12 atlet yang mara ke final secara automatik layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 manakala untuk acara seirama, atlet perlu menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas di pentas final.

Selain itu, Mun Yee, berkata Pandelela dan Dhabitah kemungkinan besar akan bergandingan bagi beraksi dalam acara 10m platform seirama pada kejohanan di Fukuoka kelak.

Kejohanan Dunia tahun ini dijadual berlangsung dari 14 hingga 30 Julai depan dengan acara terjun akan membuka tirai saingan bermula 15 hingga 22 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 1:44 PM