KAKITANGAN dan anak warga kerja KTMB bergambar kenangan sebelum bermulanya Program Komuniti&Ahli YAKEB - Kolaborasi bersama KTMB, hari ini. FOTO SUKHAIRI THANI
KAKITANGAN dan anak warga kerja KTMB bergambar kenangan sebelum bermulanya Program Komuniti&Ahli YAKEB - Kolaborasi bersama KTMB, hari ini. FOTO SUKHAIRI THANI
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menjalinkan kerjasama bagi membela nasib bekas atlet yang pernah berjasa pada negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, ahli sukan juga manusia biasa yang perlu menjalani kehidupan seharian seperti mana orang lain dan apa yang pernah mereka berikan kepada negara seperti dilupakan orang ramai.

"Mereka (bekas atlet kebangsaan) adalah legenda yang dilupakan, terlalu mudah untuk kita melupakan mereka tetapi bila kita menyanjung mereka sekejap saja dan selepas itu dilupakan.

"Kita telah membincangkan beberapa perkara yang mana kita boleh menjalankan beberapa aktiviti dan kerjasama ataupun kolaborasi antara Yakeb dan KTMB yang mana akan menghasilkan kebaikan kepada kedua-dua pihak.

"Saya sangat menyokong usaha-usaha yang dijalankan oleh Yakeb untuk menjaga kebajikan ahli-ahli sukan kita yang mengharukan nama Malaysia," katanya ketika program kolaborasi bersama antara KTMB dan Yakeb di Ampang, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, pihaknya berterima kasih atas kerjasama ini bagi membantu bekas atlet.

"Kita nak ilmu mereka (bekas atlet) dicurahkan kepada anak-anak warga kerja KTM sebab kita juga nak buat pembangunan.

"Kerjasama ini juga supaya bekas-bekas atlet ni dapat pendapatan sikit dan juga yang penting ialah ilmu itu di kongsi kepada orang ramai," katanya.

Seramai 105 peserta yang terdiri daripada kakitangan KTMB dan anak kakitangan KTMB hadir menyertai program berkenaan.

Turut hadir beberapa legenda atlet sukan seperti Datuk Foo Kok Keong (badminton), Ong Ewe Hock (badminton) dan Zolkifli Ahmad Kamarul dan Zaman Yussoff (bola sepak).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 5:58 PM