Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memuji inisiatif yang dilakukan Harian Metro apabila berkolaborasi bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dalam membantu bekas atlet melalui program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM).

Menurut Hannah, beliau mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro di atas inisiatif berkenaan dan mengalu-alukan badan korporat ataupun pihak luar untuk membantu Yakeb yang diklasifikasikannya sebagai aset dalam memberi bantu kepada bekas atlet.

"Bagi saya ini adalah satu usaha murni untuk menyumbang kembali kepada bekas atlet yang sebelum ini sudah banyak menyumbang kepada negara," katanya selepas Majlis Penyampaian Cek Khairat Kematian kepada Waris Atlet Negara hari ini.

Ujarnya, bila di waktu puncak atlet kebangsaan banyak memberi sumbangan kepada negara namun bila sudah tua dan sakit, beliau yakin Yakeb akan hadir sebagai penyelamat.

"Jadi kami memang mengalu-alukan bantuan pihak korporat untuk bantu bersama-sama dengan mereka (Yakeb). Bagi memperkasakan lagi bantu kepada bekas atlet kita boleh serahkan kepada mereka.

"Sebelum ini juga ada banyak isu yang sudah dibangkitkan oleh atlet mengenai kebajikan mereka terutama dari segi kesihatan apabila mereka sudah tua dan juga dari segi pendidikan," katanya.

Hannah juga berharap Yakeb akan meneruskan dan memperbanyakkan lagi aktiviti membantu bekas atlet pada masa akan datang.

"Tanpa Yakeb sukar untuk kita memberi tumpuan kepada kebajikan bekas atlet kerana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) banyak memberi tumpuan kepada prestasi sukan. Jadi tanpa Yakeb memang kita tidak mampu (mengambil berat soal kebajikan)," katanya.

TKHM dengan kolaborasi bersama Yakeb adalah sebahagian daripada program bersempena dengan Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro yang akan berlangsung pada 8 Januari depan.

Sebelum ini Harian Metro bersama-sama Yakeb mengadakan jelajah melawat bekas atlet di Johor dan juga Negeri Sembilan, serta beberapa lagi program di Lembah Klang.

HANNAH (kanan) turut mengingatkan pihak penganjur sukan di negara ini untuk memainkan peranan lebih tegas dalam memastikan Kod Sukan Selamat dipatuhi. FOTO Bernama
HANNAH (kanan) turut mengingatkan pihak penganjur sukan di negara ini untuk memainkan peranan lebih tegas dalam memastikan Kod Sukan Selamat dipatuhi. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 2:49 PM