ROSMAH (tiga dari kiri) merasmikan program inisiatif pendidikan berterusan Kursus Sains Sukan Tahap 1 di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil. -Foto ASYRAF HAMZAH
ROSMAH (tiga dari kiri) merasmikan program inisiatif pendidikan berterusan Kursus Sains Sukan Tahap 1 di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil. -Foto ASYRAF HAMZAH
Mohd Khairie Khalid


PENAUNG Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datin Seri Rosmah Mansor optimis negara akan memiliki lebih ramai jurulatih berpengetahuan tinggi dalam bidang sains sukan di kalangan bekas atlet negara.

Keyakinan itu disuarakan isteri Perdana Menteri ketika merasmikan Program Inisiatif Pendidikan Berterusan - Siri Kursus Kejurulatihan Sains Sukan Tahap 1 khas untuk atlet dan bekas atlet, yang dianjurkan YAKEB dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

“Menerusi kursus ini, saya yakin kita dapat melahirkan lebih ramai jurulatih yang berpengetahuan tinggi dalam bidang kejurulatihan dan sains sukan.

“Jadi, saya menyeru kepada semua ahli YAKEB dan bekas atlet mengambil peluang ini untuk meningkatkan ilmu dalam bidang sains sukan. Saya percaya untuk menjadi jurulatih, anda semua perlu mempunyai ilmu dan memanfaatkannya untuk meningkatkan potensi atlet.

“Apabila jurulatih menyertai kursus ini, sistem pelesenan kejurulatihan kebangsaan dapat diperkasakan bagi mengklasifikasikan tahap keupayaan jurulatih yang berkelayakan,” kata Rosmah dalam ucapan perasmiannya di Dewan Perdana ISN.

Rosmah juga mengakui bangga kerana YAKEB melakukan satu lagi inisiatif baharu demi manfaat bekas atlet negara dengan menganjurkan kursus berkenaan.

Beliau turut berterima kasih kepada ISN kerana menaja ahli YAKEB serta bekas atlet yang menyertai kursus berkenaan dan percaya ia mampu membantu dalam meningkatkan karier kejurulatihan mereka.

Kursus selama empat hari bermula hari ini bakal membolehkan peserta melalui beberapa sesi antaranya Falsafah Sukan, Anatomi & Fisiologi Sukan, Pemakanan Sukan, Perubatan Sukan, Biomekanik, Suaian Fizikal dan Psikologi sebelum menjalani ujian pada sesi terakhir kursus.

Antara fasilitator yang terbabit dalam kursus ini ialah legenda olahraga negara, Datuk Marina Chin.

Inisiatif pendidikan ini diangkat sebagai salah satu langkah untuk membantu menyediakan pendidikan yang sepatutnya kepada bekas atlet untuk mengembangkan karier selepas bersara.

Antara objektif kursus ini adalah melatih, melengkap dan meningkatkan pengetahuan jurulatih dalam bidang sains sukan agar dapat memajukan lagi corak dan kaedah kejurulatihan terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 6:58 PM