HANNAH Yeoh beramah mesra bersama para atlet semasa majlis pelepasan Kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asia Keempat Hangzhou 2022 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi. FOTO BERNAMA
HANNAH Yeoh beramah mesra bersama para atlet semasa majlis pelepasan Kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asia Keempat Hangzhou 2022 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Sepang: Malaysia menyambut baik berita sukan skuasy akan dipertandingkan di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) nanti.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dengan berita yang diterima itu, jawatankuasa Road To Gold (RTG) mengambil maklum dan akan membawa ke dalam mesyuarat pada hujung bulan ini untuk memperincikan keputusan yang terbaik buat sukan skuasy.

Terbaharu, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC) dalam mesyuarat yang berlangsung di Mumbai, India, semalam telah sebulat suara untuk menerima lima sukan baharu dipertandingkan di LA28.

Selain skuasy, empat lagi sukan yang mendapat persetujuan adalah kriket, flag football, lacrosse dan besbol-sofbol.

"Berita mengenai skuasy dimasukkan ke Olimpik satu berita yang sangat baik untuk kita (Malaysia).

"Kerana kita tahu di peringkat Sukan Asia, memang Malaysia sudah memenangi pingat emas untuk lelaki, perempuan dan berpasukan wanita.

"Saya percaya dengan berita terkini, jawatankuasa Road To Gold akan ambil kira semua pengumuman yang berlaku dan kita akan lihat bagaimana boleh perkasakan sistem sokongan terbaik bagi atlet kita yang mempunyai peluang mendapatkan pingat emas di Paris (Sukan Olimpik Paris 2024) dan Los Angeles.

"Malaysia menyambut baik berita untuk menambah bukan sahaja skuasy tetapi kriket juga termasuk dalam senarai itu," katanya selepas sesi pelepasan kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Semalam, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S Maniam berharap sukan skuasy akan dimasukkan ke dalam program Road To Gold (RTG) bagi bersama-sama mempersiapkan pasukan ke sukan tertinggi itu.

Sukan Para Asia akan bermula pada 22 sehingga 28 Oktober ini dan kontinjen negara diletakkan sasaran 35 pingat tanpa warna.

Malaysia menghantar 113 atlet dan daripada jumlah itu, 54 atlet akan tampil buat kali pertama dan akan mengambil bahagian dalam 14 acara daripada 22 sukan yang dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 10:36 AM