NORZA (tengah) bergambar bersama atlet selepas menyampaikan watikah pemilihan kontinjen Malaysia ke temasya Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022, hari ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
NORZA (tengah) bergambar bersama atlet selepas menyampaikan watikah pemilihan kontinjen Malaysia ke temasya Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022, hari ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Atlet yang berada dalam program Road to Gold (RTG) menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 perlu memberikan persembahan terbaik di Sukan Asia Hangzhou yang dianggap sebagai kayu pengukur.

Menurut Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, atlet negara bakal berdepan pencabar yang hampir sama seperti di Olimpik terutama dalam sukan badminton.

"Jika kita bercakap mengenai badminton, tiada banyak beza antara Olimpik dengan Sukan Asia. Cuma, tiada pencabar dari Denmark di Olimpik iaitu wakil Eropah yang kuat kerana pencabar lain datang dari Asia," katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Kontinjen Malaysia ke Hangzhou di sini, hari ini.

Ujarnya, bagi acara berbasikal trek juga Malaysia akan berdepan pencabar yang hampir sama.

"Jadi, saya setuju bahawa Sukan Asia sebagai indikasi terbaik apa yang akan berlaku di Olimpik Paris nanti, baik bagi sukan badminton dan berbasikal.

"Atlet terutama di bawah program RTG seharusnya bersemangat untuk menampilkan prestasi terbaik dan membuktikan mereka berhak untuk berada dalam program dan layak menerima sokongan yang diberikan oleh kerajaan," katanya.

Kata Norza, beliau percaya Datuk Stuart Ramalingam (Penyelaras RTG) sudah menyatakan penilaian untuk atlet RTG akan dilakukan selepas tamat Sukan Asia.

"Sukan Asia juga amat penting buat skuad hoki lelaki negara kerana ia bakal menjadi perjalanan terbaik untuk mendapatkan slot ke Olimpik Paris.

"Berdasarkan undian, peluang ke final itu cerah dan selepas itu berusaha mendapatkan pingat emas untuk beraksi ke Sukan Olimpik.

"Jika hoki ke Olimpik, kita akan ada kontinjen lebih besar, sekali gus menerima pengiktirafan lebih baik daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC)," katanya.

Kontinjen Malaysia dianggotai oleh seramai 289 atlet dan 145 pegawai, dengan jumlah besar 434 (309 lelaki dan 125 wanita).

Kontinjen negara diketuai Datuk Chong Kim Fatt yang juga Naib Presiden MOM, akan menyertai 22 daripada 40 sukan yang dipertandingkan.

Malaysia akan menyertai akuatik - terjun dan renang, badminton, berbasikal (trek dan lebuh

raya), bola keranjang 3x3 (lelaki dan wanita), dragonboat, ekuestrian, gimnastik (artistik dan berirama), hoki (lelaki dan wanita), jujitsu, karate, kabbadi, kriket (lelaki dan wanita), memanah, menembak, e-sukan, go, xiangqi, olahraga, pelayaran, ragbi, skuasy, taekwondo, tinju dan wushu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 7:47 PM