HANNAH (tiga, kanan) ketika melawat perkhidmatan Klinik Kesihatan Wanita di Institut Sukan Negara (ISN) Bukit Jalil hari ini. FOTO BERNAMA
HANNAH (tiga, kanan) ketika melawat perkhidmatan Klinik Kesihatan Wanita di Institut Sukan Negara (ISN) Bukit Jalil hari ini. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Peluang kontinjen negara untuk memenangi pingat emas di Olimpik lebih cerah selepas skuasy disenaraikan di temasya terbabit pada 2028.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh penyenaraian itu kemungkinan memberi kelebihan kepada negara selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) meluluskan untuk sukan berkenaan dipertandingkan di temasya berprestij dunia itu buat kali pertama di Los Angeles (LA).

Beliau, berkata skuasy berada di landasan tepat untuk menghasilkan keputusan positif di temasya itu selepas berjaya memenangi tiga pingat emas di Sukan Asia Hangzhou, baru-baru ini.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jawatankuasa Road to Gold (RTG) akan memberikan sokongan padu kepada setiap atlet yang akan mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

"Saya rasa ini adalah berita yang dinantikan sejak sekian lama oleh rakyat Malaysia. Dulu semasa Datuk Nicol David menjadi juara dunia, ramai yang lahirkan rasa kecewa kenapa skuasy tiada di Sukan Olimpik kerana kalau ada mungkin Malaysia sudah menang emas pertama.

"Di peringkat KBS menerusi RTG, kita akan pastikan untuk memberi sokongan padu kepada atlet yang akan mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Paris dan Los Angeles kerana RTG adalah untuk dua kitaran Olimpik.

"Saya sudah nyatakan sebelum ini, kita akan melakukan post mortem mengenai prestasi di Sukan Asia hujung bulan ini...atlet yang berjaya menang emas bermaksud mereka sudah solid di Asia dan akan diberi sokongan untuk memastikan mereka bersedia ke Sukan Olimpik.

"Saya percaya skuasy yang mempunyai prestasi konsisten di Malaysia melahirkan juara dunia akan membantu Malaysia mendapatkan emas di Sukan Olimpik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadaka lawatan ke Klinik Kesihatan Wanita di Insitut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil di sini, sebentar tadi.

Semalam, IOC memberikan kelulusan untuk skuasy dipertandingkan buat kali pertama di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 bersama empat lagi sukan baharu.

Skuasy, kriket, flag football, lacrosse dan besbol-sofbol dicadangkan oleh penganjur LA 2028 untuk disenaraikan di temasya itu dan kesemuanya mendapat kelulusan daripada IOC dalam satu mesyuarat yang berlangsung di Mumbai, India.

Di LA, skuasy akan menawarkan dua pingat emas menerusi acara perseorangan lelaki dan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 12:48 PM