Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika sidang media pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rembau di Dewan Sri Rembau. FOTO AZRUL EDHAM
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika sidang media pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rembau di Dewan Sri Rembau. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil


Rembau: Filipina menzahirkan pujian kepada Malaysia kerana berusaha mengadakan rundingan hingga Kepulauan Mindanao bakal mencapai status wilayah autonomi selepas pilihan raya yang dijadualkan pada tahun depan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu dinyatakan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr ketika beliau mengadakan lawatan ke negara berkenaan, baru-baru ini.

"Dalam perbualan antara saya dengan beliau (Ferdinand), beliau mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana keamanan yang sudah dikecapi oleh penduduk di Selatan Filipina terutamanya di Mindanao.

"Ia adalah hasil kerjasama dan juga bantuan Malaysia, yang mengurus gencatan senjata, yang mengurus semua pihak supaya berdamai, dan sekarang mereka mahu ada autonomi negeri sendiri.

"Mereka bakal ada kerajaan autonomi seperti apa yang mereka hasratkan apabila akan mengadakan pilihan raya negeri pada Mei 2025," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-45, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rembau, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Sembilan, Mustafa Katan.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, dalam lawatan bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Filipina, Ferdinand turut meminta Malaysia melihat Mindanao sebagai kawasan pertumbuhan baharu.

"Dua tiga kali di dalam percakapan beliau dengan saya menyatakan perkara itu. Rakyat Filipina ada 110 juta, 15 juta rakyat kebanyakkannya beragama Islam ini berada di selatan (Filipina) ataupun di Kepulauan Midanao.

"Jadi, mereka akan ada kerajaan autonomi sendiri dan ini merupakan satu kejayaan, nikmat kepada orang di selatan (Filipina) terutamanya penduduk beragama Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 3:18 PM