KIN Lip (kanan) bersama rakan sepasukan ketika sesi latihan menjelang Sukan SEA 2017 di Bukit Jalil.
KIN Lip (kanan) bersama rakan sepasukan ketika sesi latihan menjelang Sukan SEA 2017 di Bukit Jalil.
Mohd Khairie Khalid


MERAIH satu pingat emas di Sukan SEA Singapura 2015 dalam acara berpasukan lelaki masih belum cukup buat atlet compound negara Lee Kin Lip.

Pemanah berusia 31 tahun yang tampil buat kali ketiga di temasya dwitahunan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur itu kali ini mengintai dua pingat emas dalam acara berpasukan dan individu.

“Untuk Sukan SEA di sini, saya dan rakan mahu mempertahankan pingat emas acara berpasukan lelaki.

“Saya akan cuba bersaing untuk acara individu, jika ada rezeki untuk dapatkan emas adalah lebih baik. Tapi apa pun saya jangkakan akan mendapat saingan daripada pemanah Indonesia, Filipina, Vietnam,” katanya.

Atlet dari Sabah itu memaklumkan yang dia sudah bersedia sepenuhnya untuk beraksi esok meskipun ketika ini keadaan cuaca tidak menentu dan angin agak kuat.

“Angin di sini memang sukar, kita kena pandai untuk mengawal panahan tetapi angin faktor utama yang akan menjejaskan persembahan atlet,” katanya.

Di Singapura dua tahun lalu, skuad compound negara menyumbang empat pingat emas tetapi hanya Fatin Nurfatehah Mat Salleh yang menyumbangkan pingat dalam acara perseorangan iaitu individu wanita.

Tiga pingat lagi diraih dari pasukan lelaki menerusi trio gandingan Kin Lip, Mohd Juwaidi Mazuki dan Zulfadhli Ruslan, berpasukan wanita (Saritha Cham Nong, Fatin Nurfatehah dan Nor Rizah Ishak) serta berpasukan campuran (Mohd Juwaidi dan Fatin Nurfatehah).

Skuad compound akan memulakan cabaran esok yang dijadualkan bermula pada jam 9.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 4:44 PM