AFZAL bersama hadiah dimenanginya. FOTO Hazreen Mohamad.
AFZAL bersama hadiah dimenanginya. FOTO Hazreen Mohamad.
Nurul Hidayah Bahaudin dan Nor Syazrina Muhamad Tahir dan Nurul Najwa Mohd Noordin


Bangi: "Pada mulanya saya tak mahu berubah, lama-kelamaan setelah berada di dalam pusat pemulihan, saya banyak belajar mengenai kerohanian dan agama dan ia menjadi titik permulaan untuk saya mulakan hidup baru."

Itulah kata-kata penuntut di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok, Kelantan, yang hanya mahu dikenali sebagai Ayy (bukan nama sebenar), 28.

Ayy berkata, punca utama dia mengambil dadah jenis syabu, adalah kerana tekanan selepas bercerai bersama bekas suaminya.

"Ketika itu, anak saya masih kecil, saya juga berasa tertekan dengan masalah perceraian dan masalah keluarga. Dari situlah, saya cuba untuk mengambil syabu setelah dipengaruhi rakan sekerja yang juga kawan baik.

"Pada mulanya saya tidak mampu menerima rasanya, tetapi kelamaan saya semakin ketagih," katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Penutup Program i-DEEN Kepulihan (AADK) Tahun 2024, di Ibu Pejabat Agensi Dadah Kebangsaan (AADK), Bangi, di sini, hari ini.

Wanita kelahiran Pulau Pinang itu, mengakui tidak ramai kaum wanita yang terjebak dengan pengambilan dadah.

"Saya pernah mendapat pandangan serong daripada masyarakat, masakan tidak, selalunya lelaki yang terjebak, dan bukannya perempuan.

"Mula-mula memang susah nak buang rasa ketagih, tetapi lama-lama saya nekad untuk berubah demi anak-anak dan berhasrat buka buku baharu" katanya.

Ayy berkata kemenangannya di dalam pertandingan Syarahan Tafsir Al-Quran adalah kerana kerelaannya untuk memasuki pertandingan itu.

"Saya sendiri ingin menyertai pertandingan itu, saya pun terpilih untuk mewakili kategori Syarahan Tafsir Al-Quran dan Alhamdulillah berjaya mendapat tempat ketiga," katanya.

Sementara itu, Shah (nama samaran), 24, berkata dia sering bertindak secara agresif setelah mengambil dadah jenis syabu akibat pengaruh rakan sebaya ketika umurnya berusia 16 tahun.

"Saya tertekan kerana ilmu pembelajaran tidak dapat masuk ke dalam otak, jadi rakan saya secara sembunyi cuba untuk mengajak 'mencuba' dadah itu bagi melepaskan tekanan dan lama-kelamaan menjadi ketagih," katanya.

Berkongsi pengalaman buruknya yang sering berulang-alik memasuki penjara kerana tidak serik, Shah berkata hubungan bersama ayah kandungnya berantakan berikutan ketagihannya itu.

"Ayah saya cakap tidak pernah dalam keturunannya ada seorang penagih dadah, dia sangat kecewa dan tidak pernah datang melawat di penjara, hanya ibu saya saja.

"Tetapi Alhamdulillah, berkat doa ibu bapa dan usaha saya untuk berubah kini hubungan kami sekeluarga semuanya baik-baik saja," kata Shah.

Katanya, dia sering memasuki pertandingan melaungkan azan ketika zaman persekolahannya namun minatnya itu terganggu kerana ketagihannya.

"Dulu saya selalu memasuki pertandingan azan, tetapi saya sudah mula ketagih mengambil dadah.

"Kini saya mengambil peluang untuk menyertai pertandingan itu semula dalam keadaan bebas dadah," katanya.

Penuntut PUSPEN Kampung Selamat, Pulau Pinang, Mohamad Afzal Elyas, 37, berkata pengalaman pertamanya mencuba bahan terlarang itu ketika dia di dalam penjara.

"Waktu itu saya tertekan, saya nak rasa tenang, jadi saya ambil dadah daripada rakan banduan, tetapi lama-lama saya sedar perkara ini salah.

"Umur dah lanjut, saya terfikir untuk berkeluarga. Oleh sebab itu saya bertekad untuk betul-betul berubah," katanya.

Katanya, dia memasuki pertandingan ini kerana ingin mencari dirinya semula dan mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Ayy memenangi tempat ketiga bagi kategori Syarahan Tafsir PUSPEN, Shah memegang anugerah tempat kedua bagi kategori Azan Negeri dan Mohamad Afzal Elyas menjuarai kategori Syarahan Tafsir PUSPEN.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 3:26 PM