KEDAI durian di SS2, Petaling Jaya, yang dikatakan menjual durian premium yang tular di media sosial, semalam. FOTO Ihsan KPDN.
KEDAI durian di SS2, Petaling Jaya, yang dikatakan menjual durian premium yang tular di media sosial, semalam. FOTO Ihsan KPDN.
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Tindakan seorang peniaga mengumpan pembeli dengan mendakwa bekalan durian dijualnya adalah premium mengundang padah apabila dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan di sebuah kedai durian di SS2, di sini, menerusi Op Duri, semalam.

Katanya, ia susulan penularan satu video tular yang dimuat naik di akaun Tik Tok yang menunjukkan aktiviti tawaran jualan dibuat pekerja kedai terbabit.

"Dalam video itu, pekerja berkenaan mendakwa bekalan durian yang dijual pihaknya daripada jenis durian premium seperti 'Musang King', Udang Merah', 'Black Thorn' dan lain lain jenis premium.

"Bagaimanapun, reaksi diberikan pengguna yang mengikuti akaun TikTok terbabit di ruangan komen adalah negatif dengan menyatakan bekalan durian dibeli di kedai terbabit tidak seperti mana diiklankan dalam rakaman video.

"Malah, rata-rata komen pengguna juga meluahkan perasaan tidak berpuas hati dengan kualiti durian dijual di kedai berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan reaksi pengguna yang tular di akaun TikTok terbabit, katanya, satu tindakan pemeriksaan secara penyamaran oleh anggota Penguat Kuasa Pejabat KPDN Petaling Jaya untuk membuat pengesahan secara fizikal di kedai durian itu.

"Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati kedai itu menggunakan papan tanda (iklan) menunjukkan pernyataan menjual pelbagai jenis durian yang difahami jenis premium.

"Bagaimanapun, pemeriksaan dilakukan mendapati jenis durian yang dijual itu tidak kesemuanya jenis premium.

"Malah, terdapat juga jenis durian bukan premium dicampurkan dalam bakul jualan. Situasi ini membawa kepada percanggahan jenis sebenar barang dijual dengan iklan dipamerkan oleh kedai itu," katanya.

Beliau berkata, peniaga kedai durian itu dikenakan tindakan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan siasatan bertumpu di bawah kesalahan Seksyen 13 (1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Ia adalah bagi kesalahan membuat iklan berbentuk umpanan (iklan umpanan) dengan niat untuk tidak membekalkan seperti mana diiklankan.

"KPDN Selangor memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat berkaitan supaya sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan lengkap kepada pihak KPDN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 3:52 PM