FOTO hiasan
FOTO hiasan
Agensi

Moscow: Seorang wanita Rusia menerima kejutan apabila mengetahui dirinya 'berkahwin' dengan lelaki warga Mesir sejak 2022, setahun selepas kehilangan pasportnya.

Wanita berusia 24 tahun dari St Petersburg itu dilaporkan kehilangan pasportnya pada 2021.

Dia melaporkan kehilangan pasportnya itu kepada polis, namun sejak itu tidak pernah memohon lagi semula dokumen perjalanan itu kerana tiada keperluan.

Namun dia tidak sangka, pasport lamanya yang hilang itu boleh digunakan orang lain, tetapi pada awal tahun ini, semasa memohon sijil kelahiran untuk bayinya, wanita muda itu perlu membawa 'suaminya', iaitu seorang lelaki Mesir bernama Mustafa.

Dia tidak pernah bertemu Mustafa, apatah lagi berkahwin dengannya, namun pejabat pendaftaran Rusia menyenaraikan lelaki itu sebagai pasangannya.

Media baru-baru ini melaporkan, warga Mesir itu menggunakan dokumen wanita terbabit untuk memohon permit kediaman sementara di Rusia, mendakwa dia adalah suami kepada penduduk St Petersburg.

Dokumen itu mengandungi maklumat 'perkahwinan' mereka yang didakwa berlaku pada Januari 2022.

Kes berkenaan meraih perhatian ramai selain terpaksa dibicarakan di mahkamah.

Mahkamah Rusia akhirnya membatalkan perkahwinan itu selepas mendengar keterangan wanita itu yang mengesahkan dia telah mengisytiharkan pasportnya hilang tiga tahun lalu selain tidak pernah bertemu lelaki Mesir itu.

no pix

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 3:02 PM