FOTO hiasan
FOTO hiasan
AFP

Abidjan: Seramai 185 orang di barat Afrika mengalami pelbagai gejala keracunan makanan selepas meminum air tercemar dari lombong emas di Ivory Coast yang bocor sehingga mengalir ke Sungai Cavally.

Sungai Cavally, sumber penting untuk air minuman dan ikan bagi penduduk rantau ini, mengalir sejauh beberapa ratus kilometer di sepanjang barat negara itu.

Pegawai tempatan Moussa Dao memberitahu AFP, keretakan pada salah satu paip lombong emas itu pada penghujung bulan lalu menyebabkan sebahagian daripada air mengalir ke dalam sungai terbabit.

"Endeavour Mining telah mengeluarkan amaran serta merta kepada penduduk tempatan.

"Pada hari berikutnya, banyak ikan mati ditemui.

"Seramai 185 orang mengalami sedikit keracunan dan mengadu kembung dan muntah di pusat kesihatan kampung Ouyatouo tempat mereka dirawat," katanya.

Setakat ini, katanya, tiada kes baharu keracunan dilaporkan.

Dao berkata, beberapa langkah diambil termasuk melarang pengambilan ikan dan air minuman dari sungai serta pemberian air minuman kepada penduduk.

Kementerian alam sekitar negara itu mengesahkan, insiden itu berpunca daripada injap patah dalam paip yang membawa lumpur daripada proses pengekstrakan di lombong itu, yang tumpah ke dalam sungai berhampiran yang akhirnya mengalir ke Cavally.

Kata kementerian itu, pencemaran itu menyebabkan muntah dan sakit kepala bagi penduduk serta kematian besar-besaran kepada hidupan sungai seperti ikan.

Menurut ketua tempatan, Celestin Balla, setiap hari sejak kejadian itu orang ramai yang mengambil air dan ikan di sungai itu menunjukkan tanda-tanda cirit-birit, sakit kepala dan sakit.

Dalam satu kenyataan kepada AFP, Endeavor Mining menolak dakwaan pencemaran besar-besaran di Sungai Cavally dan membahayakan penduduk tempatan.

"Namun, kami akui insiden itu membabitkan injap rosak mengakibatkan kebocoran kira-kira tiga meter padu enap cemar dan air dekantasi ke dalam saluran lencongan tapak sebahagian kecil daripadanya mungkin dilepaskan ke dalam Sungai Cavally.

"Tetapi kami telah menggantikan injap yang rosak dan memantau dan menguji air di sungai untuk memastikan tiada pencemaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 3:42 PM