Ariff Bahran bersama isteri dan kereta mewah yang dibeli
Ariff Bahran bersama isteri dan kereta mewah yang dibeli
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Ariff Bahran terkejut apabila isterinya, Amirah Syzwani memberi 'lampu hijau' untuk dia memiliki kereta mewah jenis Porsche Cayman 718 yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000 baru-baru ini.

Bahran berkata, impiannya untuk memandu kereta mewah itu akhirnya menjadi kenyataan selepas Amirah membuat kejutan dengan membayar wang tempahan kenderaan itu.

"Saya memang dah lama teringin nak beli kereta ini tapi selagi isteri belum beri keizinan, saya tangguhkan impian membeli kereta ini.

"Tak sangka baru-baru ini dia buat kejutan dan merestui saya membeli kereta ini memandangkan ia adalah kereta dua pintu yang agak terhad untuk dibawa bersama keluarga." katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Bahran, dia tidak mampu membeli kereta mewah itu sekiranya hanya bersandarkan kepada kerjaya nyanyian semata-mata.

Katanya lagi, dia kini berjaya membuktikan pembabitannya dalam pelaburan mata wang dan jual beli barangan mewah berjaya mengubah nasib hidupnya.

"Saya bersyukur dapat miliki kereta impian ini. Dulu masa aktif menyanyi, belum tentu saya ada peluang nak dapat kereta ini.

"Saya akui fokus utama saya sekarang adalah dalam dunia perniagaan. Saya tak tahu di mana silapnya kehadiran saya sebagai penyanyi sukar diterima, jadi saya perlu cari alternatif lain untuk terus hidup.

"Alhamdulillah sepanjang lapan tahun ini saya begitu fokus dalam 'trading' dan jual beli mata wang asing serta barangan mewah. Saya juga mempunyai butik di Subang untuk barangan mewah yang saya jual beli.

"Walaupun kerjaya saya ini ramai yang tak yakin mampu pergi jauh, tapi selagi kita konsisten dan perbesarkan empayar yang dimiliki, Insya-Allah kejayaan akan datang.

"Saya juga bukan macam orang lain yang mencari ahli baru untuk perniagaan yang diusahakan ini, tetapi saya sekadar berkongsi segala tips secara percuma di media sosial.

"Kalau rasa nak belajar, dipersilakan. Tapi saya beritahu dunia 'trading' ini tak mudah kerana ambil masa bertahun untuk kita betul-betul faham dan berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 3:26 PM