DHABITAH (dua dari kanan) bersama Hamidin (dua dari kiri) dan Nazifuddin (tengah) selepas majlis pengumuman penajaan buat kontinjen negara ke Paris 2024, hari ini.
DHABITAH (dua dari kanan) bersama Hamidin (dua dari kiri) dan Nazifuddin (tengah) selepas majlis pengumuman penajaan buat kontinjen negara ke Paris 2024, hari ini.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Papan anjal baharu bakal digunakan di Sukan Olimpik Paris 2024 bakal menjadi cabaran kepada atlet terjun negara bagi mendapatkan mata terbaik dalam setiap terjunan.

Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri berkata, dia perlu cepat menyesuaikan diri dengan papan anjal itu agar memperoleh momentum pada hari pertandingan, sekali gus memudahkannya melakukan terjunan seperti dirancang.

Oleh itu, Dhabitah dan penerjun lelaki negara, Bertrand Rhodict Lises akan terbang ke London, England pada 8 Julai ini untuk mengadakan latihan menggunakan papan anjal baharu itu.

"Kami akan berlatih di London selama dua minggu sebelum terus ke Paris bagi menyesuaikan diri dengan perbezaan waktu dan papan anjal baharu.

"Di sana adalah sistem baharu dan kita di sini masih guna yang lama (papan anjal). Nak menyesuaikan diri dengan papan baharu itu mengambil masa juga.

"Jadi saya rasa latihan di London itu sangat bagus dan masa terbaik untuk ke Olimpik Paris kerana saya dapat biasakan diri lebih awal.

"Teknik dan kualiti terjunan amat penting untuk seseorang atlet itu kerana papan anjal yang digunakan kali ini sangat berbeza dengan yang sebelum ini," katanya selepas majlis pengumuman penajaan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Hadir sama, Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib.

Ketika ditanya berkenaan sasaran pingat di Paris 2024, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu tidak ingin meletakkan tekanan terlalu tinggi kepada dirinya, sebaliknya berjanji akan berikan yang terbaik dalam setiap terjunan.

Terdahulu, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) menyenaraikan Dhabitah bagi acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita di Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 3:13 PM